Ad

Saturday, 15 February 2014

Budak maut dirempuh gajah

 Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
pengarang@utusan.com.my
 
 Mustapa Mohamed mendengar cerita Rezamawati Che Mat Bidin tentang kejadian mereka diserang gajah naik minyak ketika melawat keluarga mangsa di Kampung Labu Wakaf Zain, Jeli, Kelantan, semalam.
JELI 15 Feb. - Seorang kanak-kanak maut manakala ibunya cedera dirempuh seekor gajah ketika dalam perjalanan ke kebun getah di Kampung Labu Wakaf Zain di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Wan Aidit Nasrullah Wan Mahmod, 4, disahkan meninggal dunia di Hospital Jeli (HJ) selepas terjatuh dari motosikal akibat rempuhan haiwan liar itu.

Sementara itu, ibunya, Rezamawati Che Mat Bidin, 37, retak buku lali, cedera di rusuk kiri serta pinggul akibat dipijak gajah tersebut dan dirawat sebagai pesakit luar hospital yang sama.

Rezamawati yang ditemui Mingguan Malaysia di HJ di sini hari ini berkata, dia keluar menoreh getah bersama suaminya, Wan Mahmod Wan Noh kira-kira pukul 8.30 pagi.

Bagaimanapun katanya, pisau yang digunakannya patah dan menyebabkan mereka balik ke rumah.

Katanya, dalam perjalanan ke kebun getah selepas mengambil pisau baharu, motosikal mereka dirempuh gajah sehingga menyebabkan mereka bertiga termasuk Wan Aidit Nasrulullah yang duduk dalam bakul hadapan jatuh ke atas jalan.

"Ketika itu kami berada kira-kira 50 meter dari kawasan rumah. Tiba-tiba suami saya menjerit mengatakan ada gajah di hadapan dan dia terus membuat pusingan U. Apabila saya menoleh, gajah tersebut telah pun berada di belakang saya.

"Gajah itu terus merempuh kami, dan di saat itu hanya maut yang terbayang di fikiran selain rasa teramat sakit dipijak haiwan tersebut.

"Tetapi laungan 'Allahu akbar' yang saya jeritkan menyelamatkan saya daripada maut. Gajah itu terus berpusing meninggalkan kami bertiga," katanya.

Rezamawati berkata, selepas itu dia terdengar suaminya menjerit mengatakan anak mereka tidak sedarkan diri dan tubuhnya bertukar kebiruan.

"Suami dan anak bongsu saya itu tidak dipijak gajah. Suami saya berjaya membawa anak kami menyelamatkan diri tetapi secara tiba-tiba Aidit tidak sedarkan diri dan badannya berubah menjadi biru.

"Sampai di hospital, doktor mengesahkan anak saya telah meninggal dunia sementara saya diberikan rawatan di Unit Kecemasan," katanya sambil menahan sebak.

Katanya, sebelum itu, seorang jirannya memberitahu bahawa ada gajah sedang mengamuk di kawasan itu tetapi dia menganggapnya sebagai gurauan.

Terdahulu, di lokasi berhampiran kira-kira pukul 8.45 pagi, seorang penoreh getah, Hashim Yaacub, 67, turut menjadi mangsa rempuhan gajah liar itu.

Datuk kepada 13 cucu itu berkata, selepas menoreh kira-kira 30 batang pokok, dia terdengar bunyi bising dan terlihat seekor gajah berada di hadapannya dalam jarak tidak sampai lima meter.

"Saya tidak sempat lari, gajah itu merempuh saya sehingga saya jatuh tersembam ke dalam lumpur.

"Saya rasa sakit di rusuk kiri akibat dipijak gajah tersebut. Dalam keadaan itu saya hanya fikir tentang mati tetapi pada masa sama saya sempat laungkan 'Allahu akbar'. Apabila terdengar laungan itu gajah tersebut berlari ke arah anak sungai berhampiran," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Supritendan Sheikh Azhar Sheikh Omar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

"Jabatan Perhilitan dan polis telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengesan dan menangkap haiwan liar itu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang melawat keluarga Wan Aidit Nasrullah di rumah keluarnya di Kampung Bukit Perawas mengumumkan sumbangan RM20,000 daripada Tabung Bencana Negara.

Tambahnya, dua lagi mangsa rempuhan gajah terbabit juga akan menerima sumbangan berdasarkan kecederaan dialami.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140216/dn_10/Budak-maut-dirempuh-gajah#ixzz2tQbtLPHS © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment