Ad

Saturday, 15 February 2014

Jangan pertikai penglibatan atlet Indonesia

ATLET UKM, Mohamad Fitri Salim (kiri) dan Mohd. Aizat Mohd. Zokri (dua dari kiri) bersama gandingan UM, Yew Sok Tin (dua dari kanan) dan Wong Fei Tin menunjukkan pingat emas yang mereka menangi dalam acara bola tampar pantai di Shah Alam semalam.
SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) berharap semua pihak yang terlibat dengan Sukan Institusi Pengajian Tinggi 2014 (SukIPT 2014) agar tidak mempertikaikan penglibatan atlet Indonesia di dalam kontinjen itu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Alumni, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohd. Said berkata, penglibatan para pelajar itu adalah sah dari segi peraturan SukIPT kerana mereka merupakan pelajar yang berdaftar dan mengikuti kursus di UiTM.

"Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan SukIPT sudah memutuskan bahawa mereka layak menyertai dan sudah dimaklumkan kepada semua yang terlibat.

"Penglibatan atlet ini tidak boleh dipertikai," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Tuanku Agong Canselor UiTM di sini semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Universiti Putra Malaysia (UPM) membantah tindakan UiTM menggunakan khidmat lima atlet renang kebangsaan Indonesia yang menggunakan tiket program pertukaran pelajar untuk beraksi pada temasya dwi tahunan itu.

Bantahan rasmi yang dikemukakan UPM bagaimanapun ditolak Mesyuarat Jawatankuasa Bantahan SukIPT 2014 kerana Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan sudah memaklumkan atlet berkenaan layak menyertainya berdasarkan peraturan yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya meraih pingat emas bagi acara bola tampar pantai lelaki dengan menewaskan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 21-13, 21-18 manakala gangsa menjadi milik Kolej Antarabangsa INTI yang menewaskan UiTM 21-18, 22-20.

Pasukan bola tampar pantai wanita Universiti Malaya (UM) pula menewaskan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 15-21, 25-23,17-15 untuk meraih emas manakala gangsa menjadi milik Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) selepas menewaskan UKM 21-5, 21-12.

Dalam acara ragbi, UPM menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 41-0 dalam perlawanan akhir untuk muncul juara manakala gangsa menjadi milik Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selepas menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 10-7.

UPM menambah kutipan pingat emasnya semalam menerusi acara sepak takraw apabila menundukkan UiTM 21-18, 21-13 manakala Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraih gangsa dengan menewaskan UniSZA 21-16, 16-21, 24-22.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140216/su_05/Jangan-pertikai-penglibatan-atlet-Indonesia#ixzz2tQh4M9Z2 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment