Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
WAN KUZAIN Wan Kamal (kanan)
bakal menjalani ujian dengan kelab terkemuka Belanda, Feyenoord pada hujung
bulan ini. - Foto SoccerSTL
KUALA LUMPUR - Tanggal 28
Februari ini bakal menjadi detik bersejarah buat anak Malaysia, Wan Kuzain Wan
Kamal, yang kini menetap di Carbondale, Illinois, Amerika Syarikat apabila dia
bakal menjalani latihan pemilihan selama sepuluh hari bersama pasukan gergasi
Liga Eredivisie Belanda, Feyenoord.
Perkara itu disahkan sendiri
oleh ayahnya, Prof. Dr. Wan Kamal Wan Napi, yang berjaya dihubungi melalui
Facebook semalam.
Katanya, ini merupakan peluang
keemasan buat anaknya yang baru berusia 15 tahun itu mengembangkan karier bola
sepak ke bumi Eropah selepas baru sahaja menjalani latihan bersama pasukan
Bawah 17 Tahun Amerika Syarikat (AS) di Florida.
Pada waktu ini, katanya, Wan
Kuzain sedang bernaung di bawah kelab St. Louis Scott Gallagher (SLSG) di
Illinios, menjadi antara pemain utama kelab itu dan aksi cemerlang yang
ditampilkan berjaya meletakkan dirinya antara 30 pemain yang disenarai pendek
untuk menjalani pemilihan skuad Bawah 17 Tahun AS.
Menurut Wan Kamal, anaknya
dianugerahkan bakat semulajadi yang begitu baik terutama skil menggelecek dan
mengawal bola yang membuatkan jurulatih SLSG meletakkan Wan Kuzain ber-aksi di
posisi tengah serta dianggap sebagai perancang dalam pasu-kan kerana mempunyai
visi terhadap pergerakan permainan.
"Selepas Kuzain balik
daripada latihan skuad kebangsaan Amerika Bawah 17 di Florida (persediaan Piala
Dunia Bawah 17 tahun di Chile, 2015), jurulatih Kuzain percaya pemain ini
mempunyai masa depan yang cerah dalam dunia bola sepak.
"SLSG percaya Feyenoord
adalah tempat paling sesuai untuk menggilap bakat Kuzain dan sebaik sahaja dia
balik dari kem latihan di Florida, jurulatihnya terus menghantar profil
peribadinya kepada Feyenoord yang berpengkalan di Rotterdam, Belanda.
"Kira-kira sebulan selepas
itu Feyenoord telah mengeluarkan surat jemputan kepada Kuzain untuk menjalani
latihan percubaan selama sepuluh hari bersama mereka di Rotterdam,"
katanya.
Menceritakan masa depan
anaknya, Wan Kamal berkata, dia mahu melihat anaknya mengutamakan pelajaran
terlebih dahulu dan menyambung pelajaran ke universiti sebelum bergelar pemain
bola sepak profesional.
"Tidak mustahil untuk
Kuzain menyarung jersi Malaysia pada satu hari nanti kalau mendapat tawaran
daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) atau mana-mana pihak yang mampu
berikan tawaran yang baik," katanya.
Berita mengenai pemilihan Wan
Kuzain ke Feyenoord, kelab yang melahirkan beberapa pemain ternama Belanda
seperti Robin van Persie dan Jonathan de Guzman turut dimuatkan di majalah
dalam talian goal.com (versi Belanda) dengan pihak media negara itu melabelkan
pemain berusia 15 tahun itu sebagai Messi Amerika Syarikat dalam pembikinan.
Wan Kuzain mula aktif bermain
bola sepak semasa berumur 4 tahun iaitu secara rekreasi di Carbondale dan pada
usianya 11 tahun ditawar bermain dengan SLSG.
Kuzain menerajui SLSG untuk
menjadi juara kejohanan bawah 14 tahun lelaki dalam Piala Juara NPL (National
Premier League) yang dianjurkan persatuan kelab bola sepak Amerika Syarikat.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140221/su_01/Feyenoord-uji-anak-Malaysia#ixzz2u0IjATcu
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment