Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Wan Kuzain Wan Kamal akan
menjalani latihan pemilihan bersama Feyenoord pada 28 Februari ini. - GAMBAR
IHSAN SOCCERSTL
KUALA LUMPUR - Bakat luar biasa
yang dimiliki oleh anak Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal yang baru berusia 15
tahun sememangnya telah diketahui oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal dan beliau mengakui bersedia membawa
pemain yang akan menjalani pemilihan dengan kelab Belanda, Feyenoord itu ke
tanah air untuk mewakili Harimau Malaya jika dia benar berminat satu hari
kelak.
Bertambah memudahkan keadaan,
Subahan mengenali ayah Wan Kuzain, Profesor Dr. Wan Kamal Wan Napi yang
merupakan teman sepengajian ketika menuntut di Amerika Syarikat dari tahun 1986
hingga 1989. Dr. Wan Kamal kini pensyarah di Universiti Southern Illinois.
Justeru, Subahan berjanji akan
berhubung secara terus dengan bapa Wan Kuzain bagi bertanyakan perkembangan
anaknya itu, terutama menjelang pemilihan sepuluh hari bersama kelab Belanda,
Feyenoord yang akan bermula pada 28 Februari ini.
"Terus-terang saya tidak
melihat dia bermain selama ini namun mengetahui perkembangan bakatnya sehingga
dia menjalani pemilihan bersama pasukan Bawah 17 Tahun Amerika Syarikat
baru-baru ini kerana saya sentiasa berhubung dengan ayahnya.
"Ini kerana saya dan Wan
Kamal (ayah Wan Kuzain), merupakan rakan ketika di Universiti Southern Illinios
dari tahun 1986 hingga 1989, jadi kebetulan saya memang mengetahui bakat yang
ada pada Wan Kuzain.
"Cuma apabila Utusan
Malaysia membuka cerita pemilihan dia untuk menjalani latihan bersama
Feyenoord, saya rasa ini satu perkembangan yang cukup baik bagi FAM dan para
peminat boleh mengetahui perkembangan terkini Wan Kuzain.
"Bagaimana pun, kita
hendak tengok juga kemampuan dia terlebih dahulu tetapi di pihak FAM, kami
sedia untuk membantu dia dibawa ke sini seperti mana kami membawa pemain
Shanghai Shenhua, Tam Sheang Tsung agar jurulatih, Datuk Ong Kim Swee boleh
menilai sejauh mana prestasinya," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Subahan, beliau memahami
harapan tinggi semua pihak terutama peminat bola sepak tempatan yang mahu
melihat Wan Kuzain menyarung jersi negara pada satu hari nanti tetapi
menjelaskan, semuanya bergantung kepada pilihan anak muda itu sendiri.
"Soal Wan Kuzain hendak
mewakili negara mana kita tidak boleh paksa. Saya akan mendapatkan maklumat
daripada ayahnya terlebih dahulu dan jika benar harapan dia untuk melihat
anaknya mewakili negara, itu satu petanda baik.
"Malah, tidak mustahil
juga kita melakukan kunjungan ke sana (Rotterdam) untuk melihat proses
pemilihan Wan Kuzain dari 28 Februari nanti, saya akan cuba usahakan supaya
kita dapat melihat secara dekat bakat yang ada pada Wan Kuzain," katanya.
Utusan Malaysia berjaya
mendapatkan perkembangan terkini Wan Kuzain, melalui ayahnya yang dihubungi
menerusi Facebook. Pemain yang mulai digelar Messi Amerika Syarikat oleh
media di Belanda itu berjaya memikat gergasi Liga Eredivisie, Feyenoord dan
akan menjalani ujian pemilihan bagi menyertai akademi kelab bola sepak terkenal
Belanda itu.
Bernaung di bawah kelab St.
Louis Scott Gallagher (SLSG) yang berpengkalan di Illinios, Wan Kuzain menjadi
antara 30 pemain yang disenarai pendek bagi menyertai skuad Bawah 17 Amerika
Syarikat yang akan bermain di Piala Dunia Bawah 17 di Chile pada tahun depan.
Mula beraksi di posisi sayap
kiri, Wan Kuzain kini beralih ke bahagian tengah selaku perancang pasukan
selepas jurulatih melihat dia mempunyai skil menggelecek yang baik dan visi
dalam mengatur pergerakan permainan.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140222/su_03/FAM-akan-pantau-perkembangan-bakat-Wan-Kuzain#ixzz2u0q6OkZt
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment