KELANTAN belum mahu menyerah walaupun mengalami kekalahan 3-5 kepada wakil
Myanmar, Yangoon United pada aksi pembuka tirai kempen Piala Konfederasi Bola
Sepak Asia (AFC) kelmarin, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menyifatkan peluang mereka masih
terbuka walaupun mengalami kekecewaan pada aksi pembuka tirai itu.
Mohd. Badhri atau Piya berkata, tewas pada aksi pembukaan bukanlah penamat
buat The Red Warriors dalam saingan Piala AFC dan dia tetap optimis rakan-rakan
sepasukannya mampu bangkit dalam aksi seterusnya.
Menurutnya, walaupun turun tanpa tiga tonggak import iaitu Mohamed Ghaddar,
Mohamed Shawky Aly dan Francis Forkey Doe, namun The Red Warriors tetap berjaya
menjaringkan tiga gol pada perlawanan tersebut.
"Saya terharu dengan komitmen yang ditunjukan oleh rakan-rakan
sepasukan, walaupun tanpa tiga tonggak import kita berjaya bangkit dengan aksi
lebih tersusun pada badak kedua, sekali gus berjaya menjaringkan tiga gol.
"Bukan itu sahaja, walaupun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain
selepas Ahmad Shakir Ali dibuang padang akibat layangan kad merah, tetapi
barisan pemain The Red Warriors tetap beraksi dengan baik," katanya ketika
dihubungi semalam.
Tambahnya, kekalahan tersebut
dianggap sebagai pengalaman berguna bagi memastikan Kelantan bangkit garang
pada perlawanan berikutnya.
"Kami tetap bangkit untuk
memberi saingan terutama pada babak kedua," katanya.
Piya memberitahu, faktor cuaca
panas pada perlawanan tersebut sedikit sebanyak mempengaruhi persembahan The
Red Warriors yang dilihat seakan-akan hilang punca pada aksi babak pertama.
Katanya, barisan pemain The Red
Warriors berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca pada babak kedua yang
menyaksikan mereka bangkit memperagakan aksi lebih kemas dan bertenaga.Dalam
perkembangan lain, Piya berkata fokusnya kini ialah untuk memberikan aksi
terbaik pada perlawanan persahabatan bersama Harimau Malaya menentang Filipina
di Stadium Majlis Perbandaran Selayang esok.
Katanya, dia bertekad memberikan aksi terbaik pada perlawanan tersebut
sekirnya diberikan peluang untuk membuat penampilan bersama Harimau Malaya."Walaupun
baharu sahaja tiba di tanah air, namun itu bukan alasan buat saya untuk tidak
bekerja keras pada sesi latihan bersama Harimau Malaya."Lagipun saya sudah
biasa dengan situasi ini dan harapan saya ialah untuk membuktikan kemampuan
sebenar pada perlawanan itu nanti," ujarnya.
No comments:
Post a Comment