Ad

Sunday, 16 February 2014

UiTM Raub siap Mac 2015

Shahiruddin Ab. Moin menyampaikan bantuan wang tunai kepada pelajar Sekolah Menengah Seri Raub di Raub, semalam.
RAUB 15 Feb. - Pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub bakal memberi lonjakan menyeluruh kepada daerah ini apabila projek itu siap Mac tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, pihaknya sentiasa memantau pelaksanaan projek tersebut yang kini siap kira-kira 26 peratus.

"Projek ini berjalan mengikut jadual ditetapkan dan menurut jawatankuasa penilaian pembinaannya, cepat tiga peratus daripada jadual asal.

"Pada masa ini bangunan asrama sembilan tingkat dalam proses pembinaan dan kita berharap projek ini akan dapat disiapkan secepat mungkin bagi memberi manfaat kepada penduduk di sini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan skim bantuan khas kerajaan negeri dan Yayasan Pahang kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Raub di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengetua SMK Seri Raub, Abdul Halim Salleh. Dalam majlis itu seramai kira-kira 300 pelajar menerima bantuan wang tunai.

Menurut Shahiruddin, kampus UiTM Raub yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kawasan tanah seluas kira-kira 32 hektar di persimpangan Felda Krau itu mampu menampung kira-kira 3,000 pelajar.

Katanya, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di daerah ini bernilai lebih RM300 juta itu amat dinantikan penduduk dalam memberi impak pendidikan dan ekonomi kepada daerah ini.

"Saya berharap penubuhan kampus ini akan memberi semangat kepada pelajar sekolah di sini untuk berusaha bersungguh-sungguh seterusnya dapat melanjutkan pelajaran di kampus baharu berkenaan," jelasnya.

SUMBER;Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20140216/wp_02/UiTM-Raub-siap-Mac-2015#ixzz2tYmoEsn2 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment