Ad

Thursday, 20 February 2014

Mat Yo beri alasan misteri


PEMAIN-PEMAIN skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Petaling Jaya semalam tanpa kehadiran Norshahrul Idlan Talaha yang menarik diri atas alasan untuk menunaikan umrah dan satu sebab lain yang tidak dapat dinyatakan oleh pihak pengurusan pasukan. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
PETALING JAYA - Penyerang Johor Darul Ta’zim, Norshahrul Idlan Talaha sah tidak akan bersama skuad Harimau Malaya untuk perlawanan penting menentang Yemen dalam kelayakan Piala Asia 2015 pada 5 Mac ini.

Pemain berasal dari Kelantan itu telah menyatakan menarik diri daripada skuad negara, yang kini sedang membuat persediaan untuk perlawanan di Abu Dhabi itu, dengan alasan mahu mengerjakan umrah pada 3 Mac ini.

Sebelum bertemu Yemen, skuad negara akan menguji taktikal dalam perlawanan persahabatan dengan Filipina di Kuala Lumpur pada 1 Mac.

Bagaimanapun, desas-desus mengatakan ibadah umrah bukanlah punca utama Norshahrul menarik diri, sebaliknya terdapat ‘alasan misteri’ di sebalik keputusannya itu.

Pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal yang ditemui di Wisma FAM semalam jelas terlalu berat untuk berbicara perkara sebenar apakah punca pemain berusia 27 tahun itu enggan menyertai latihan kali ini, sebaliknya meminta pihak media mendapatkan sendiri alasan tersebut daripada Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo.

Namun, Subahan mengakui cukup terkilan kerana skuadnya tidak dapat menggunakan khidmat Mat Yo ketika Harimau Malaya berdepan dengan situasi genting dan larian lincah penyerang JDT itu amat diperlukan oleh jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee.

"Dia ada berjumpa dengan saya pada malam tadi (malam semalam) dan beritahu sebab dia tidak dapat menyertai latihan skuad kebangsaan kali ini. Memang dia hendak mengerjakan ibadah umrah namun ada satu lagi alasan yang saya tak boleh ceritakan di sini.

"Perkara itu dianggap terlalu peribadi buat Norshahrul dan saya. Jika mahu tahu apakah sebabnya, baik tanya sendiri kepada Norshahrul kerana memang susah saya hendak beritahu.

"Saya dan Kim Swee telah berbincang dan kami menerima alasan yang diberikan Norshahrul. Kita beri dia masa dan biarlah dia selesaikan masalah yang sedang dihadapinya sekarang. Kita masih ada beberapa pemain lain seperti Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani dan Safee Sali yang boleh diharapkan," katanya.

Latihan pertama Harimau Malaya kelmarin mencetuskan rasa kurang gembira kepada Kim Swee apabila Mat Yo gagal memberikan surat tunjuk sebab mengapa dia tidak menghadirkan diri.

Kim Swee menganggap sebagai seorang pemain senior negara, Mat Yo sepatutnya faham peraturan yang ditetapkan dan perlu memberitahu secara rasmi kepada pihak pengurusan mengenai tindakannya.

Walaupun begitu, pintu buat Norshahrul untuk bersama skuad Harimau Malaya pada masa hadapan belum tertutup sepenuhnya dan menurut Subahan semuanya bergantung kepada perancangan jurulatih selepas ini.

Beliau bagaimanapun berharap perbuatan Norshahrul itu tidak menjadi ikutan anggota skuad pada masa akan datang sambil memberikan amaran yang pengurusan Harimau Malaya sama sekali tidak akan menerima alasan-alasan yang tidak masuk akal sekiranya mana-mana pemain gagal menghadirkan diri ke kem latihan.

"Tidak, tidak. Mat Yo boleh lagi bersama kita pada masa akan datang, cuma sama ada dia akan berada dalam perancangan jurulatih, semuanya bergantung kepada Kim Swee.

"Cuma saya mahu tekankan di sini kepada pemain-pemain lain kalau ada masalah peribadi selepas ini, tugas buat pasukan negara perlu diutamakan terlebih dahulu, bila dipanggil kenalah datang.

"Sama ada anda seorang pemain hebat atau tidak itu bukan menjadi keutamaan, kami mahukan pemain yang ada semangat berpasukan dan sentiasa berikan komitmen kepada skuad Harimau Malaya," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140221/su_02/Mat-Yo-beri-alasan-misteri#ixzz2tvMz9H00 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment