Ad

Saturday 22 February 2014

Khairul Azhan curi tumpuan Kim Swee


 

Khairul Azhan Mohd. Khalid
PETALING JAYA - Pemergian dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd. Farizal Marlias yang akan beraksi bersama pasukan masing-masing dalam saingan Piala AFC mungkin memaksa jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee memilih penjaga gol muda Pahang, Khairul Azhan Mohd. Khalid untuk diturunkan ketika menentang Filipina, di Stadium Selayang, 1 Mac ini.

Kemungkinan itu tidak ditolak oleh Kim Swee yang berkata, beliau pasti memberikan peluang kepada penjaga gol berusia 24 tahun itu merasai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa buat kali pertama.

"Apek (Khairul Fahmi) dan Farizal akan diberi pelepasan pada 23 Februari ini bagi menghadapi Piala AFC, mereka akan kembali pada 26 Februari dan atas faktor kepenatan yang mungkin dirasai oleh mereka berdua, saya ada rancang berikan peluang kepada Khairul Azhan ketika turun berdepan Filipina dalam aksi persahabatan.

"Cukup penting buat Khairul Azhan beraksi kerana dari situ saya boleh melihat sejauh mana potensinya apabila bermain di peringkat antarabangsa selain pemain-pemain lain yang tidak bermain di Piala AFC.

"Khairul Azhan adalah seorang penjaga gol berbakat besar dan aksinya cukup konsisten bersama Pahang terutama pada Piala Malaysia musim lalu, jadi dia wajar mendapat pengalaman ini, " katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari keempat Harimau Malaya, semalam.

Selain itu, jurulatih berusia 43 tahun itu mendedahkan beliau akan cuba meletakkan gandingan dua penyerang ketika berdepan Filipina untuk mencuba beberapa kombinasi terbaharu membabitkan Safee Sali, Bobby Gonzales, Ahmad Fakri Saarani, Amri Yahyah dan Baddrol Bakhtiar.

"Berdepan Yemen pada aksi kelayakan Piala Asia 2015, 5 Mac nanti saya mungkin cenderung menggunakan seorang penyerang kerana kita bermain di tempat lawan tetapi bertemu Filipina, saya mungkin akan meletakkan dua penyerang.

"Walaupun ini perlawanan persahabatan berkelas A, saya akan cuba memberi peluang kepada semua penyerang yang saya ada," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140223/su_04/Khairul-Azhan-curi-tumpuan-Kim-Swee#ixzz2u63zoaIs © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment