KUCHING - Ketiadaan ramai
tonggak utama ekoran penggantungan dan kecederaan menjejaskan hasrat skuad
Bujang Senang untuk menempah tiket separuh akhir Piala FA.
Meskipun dua kali mendahului
Felda United, Sarawak gagal mempertahankan mata yang diperolehi dengan
keputusan 2-2 dan membolehkan pasukan dikenali The Settlers itu layak ke
separuh akhir menerusi peraturan jaringan di tempat lawan, kelmarin.
"Saya tidak menyalahkan
pemain atas kekalahan ini. Mereka sentiasa berusaha keras dalam setiap
perlawanan yang ditempuhi.
"Jika dilihat, dalam
pertemuan dengan Felda United ini kami sudah begitu hampir untuk melangkah ke
separuh akhir tetapi hanya sedikit kelalaian telah menghukum kami," kata
ketua jurulatih, Robert Alberts.
Sarawak turun tanpa empat
pemain utama, Muamer Salibasic, Milorad Janjus dan Zamri Morshidi, yang
masing-masing mengalami kecederaan, manakala Junior Eldstal digantung dua
perlawanan setelah menerima kad merah dalam perlawanan Liga Super minggu lalu.
Tambah Alberts, beliau juga
terpaksa menurunkan tonggak pertahanan, Gabor Gyepes yang belum cergas kerana
kecederaan semasa bertemu Perak minggu lalu.
"Saya akui Felda bermain
lebih baik. Mereka memiliki pemain berpengalaman dan sangat berkualiti. Gol
penyamaan menerusi sepakan percuma (Zar Rahan Krangar) juga sangat cantik.
Tahniah Felda ," ujarnya.
Sementara itu, jurulatih Felda
United, Irfan Bakti Abu Salim memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan
oleh pemainnya dalam pertemuan dengan Sarawak itu.
Katanya, bukan senang bagi
mana-mana pasukan untuk menjinakkan Bujang Senang di gelanggang keramat
mereka.
"Kami ketinggalan dua kali
dalam perlawanan itu, tetapi mereka (pemain) tidak berputus-asa,"
jelasnya.
SUMBER:Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140220/su_07/Ketiadaan-empat-tonggak-utama-punca-Sarawak-tersingkir#ixzz2tuCbwK6D
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment