Kelana Jaya: Ketua pasukan
Harimau Malaya yang baru Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak yakin jurulatih Datuk Ong
Kim Swee mampu mencetuskan kejayaan pasukan meskipun hanya bertindak sebagai
pengendali sementara selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gagal
mendapatkan khidmat jurulatih import.
Bagi tonggak pertahanan berusia
26 tahun itu, dia berharap semua pemain dapat memberikan prestasi terbaik
kepada pasukan bagi memastikan misi pertama memburu kemenangan ke atas Yaman
pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada awal Mac depan berjaya direalisasikan.
“Kita ada lagi jurulatih
tempatan yang boleh membimbing pasukan seperti Datuk Ong Kim Swee dan apa yang
penting prestasi pemain di atas padang, kerana (dalam perlawanan) jurulatih
ketika itu sudah menjadi watak nombor dua penting. Kalau jurulatih Piala Dunia
sekalipun tapi prestasi pemain dan saya sendiri masih di tahap sama, pasti
tidak kena (menang) juga,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan
skuad kebangsaan semalam.
Selepas kontrak Datuk K
Rajagobal berakhir pada 31 Disember lalu, FAM berusaha mendapatkan jurulatih
import termasuk bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun dari Perancis, Phillipe
Troussier namun gagal apabila kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan
mengenai kontrak bulan lalu.
FAM dianggap mengambil langkah
berani apabila mengekalkan Kim Swee untuk meneruskan tugas buat sementara
bersama Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa
dengan Filipina pada 1 Mac ini dan Yaman (5 Mac).
Selepas dua hari latihan pusat
kebangsaan dijalankan, pihak pengurusan pasukan semalam mengumumkan untuk
melantik Aidil, pemain Johor Darul Ta'zim (Johor DT) sebagai ketua pasukan
baru, mengambil alih lilitan di lengan yang dipakai pemain tengah Mohd Safiq
Rahim manakala penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat sebagai penolong kapten.
Menurut Aidil yang pernah
menjadi kapten bagi skuad juara Sukan SEA Laos 2009, dia nyata terkejut dengan
pemilihan itu dan berjanji untuk menunaikan tanggung jawab besar itu sebaik
mungkin.
“Saya agak terkejut apabila
dimaklumkan mengenai perkara ini tadi (semalam) kerana ada lagi pemain senior
seperti Amri (Yahyah) dan Piya (Mohd Badhri Radzi) dalam pasukan ini. Tapi bagi
saya siapa yang menjadi kapten tidak penting kerana semua pemain harus
memainkan peranan masing-masing. “Saya harap dapat memimpin rakan-rakan dalam
misi pertama menentang Yaman dan Piala AFF hujung tahun ini,” jelasnya.
Sementara itu bagi Safiq, dia
tidak terkilan dengan keputusan pihak pengurusan pasukan sebaliknya bersedia
memberikan komitmen kepada pasukan walaupun bukan lagi sebagai kapten.
“Semua pemain berhak dapat
(tugas sebagai kapten), bagi saya ini tidak penting kerana yang penting
pasukan. Pemain lain perlu berikan kerjasama dan komitmen kerana ini pasukan
negara,” kata rakan sepasukan Aidil di Johor DT itu.
SUMBER MYMETRO:Artikel ini
disiarkan pada : 2014/02/21
No comments:
Post a Comment