Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kejohanan All
England yang berlangsung dari 4 hingga 9 Mac depan bukan sesuatu yang istimewa
atau wajib menang buat Datuk Lee Chong Wei, namun dia berjanji untuk memberi
aksi terbaik seterusnya menghalang penguasaan berterusan pemain China.
Menurut pemain No.1 dunia itu,
dia tidak begitu fokus untuk All England tahun ini walaupun ada peminat yang
berkata bahawa dia perlu merampas semula kejuaraan tersebut selepas Lin Dan
meraihnya pada 2012, diikuti oleh seorang lagi pemain China, Chen Long tahun
lalu.
Saya tidak berapa fokus untuk
meraih kejuaraan All England kali ini, saya tahu ada orang cakap ini adalah
kejohanan besar yang berlangsung setiap tahun tetapi saya sudah memenanginya
sebanyak dua kali," katanya selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit
Kiara semalam.
Ini bermakna Chong Wei yang
diletak sebagai pemain pilihan utama, menjadikan All England sama seperti
saingan Siri Super yang lain dan medan terbaik untuk pemanas badan menjelang
beberapa kejohanan utama lain seperti Piala Thomas, Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel
dan Sukan Asia.
Lebih banyak kejohanan besar
yang perlu saya lalui selepas ini, jadi sebagai manusia biasa saya tidak boleh
menumpukan perhatian kepada semua kejohanan sekali gus," kata pemain
berusia 31 tahun itu.
Bagaimanapun, Chong Wei yang
meraih gelaran pertama di Siri Super Premier Terbuka Malaysia bulan lepas
berjanji akan cuba memberi aksi terbaik dan memenangi saingan All England.
Ditanya mengenai undian
kejohanan tersebut yang telah dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF)
kelmarin, Chong Wei berkata, dia melihat undian tersebut sama seperti kejohanan
yang lain apabila akan bertemu dengan pemain yang sama.
Bagi saya undian ini biasa
sahaja, semua pemain yang bagus akan menyertai kejohanan ini. Apa yang penting
adalah prestasi saya sendiri," katanya yang dijadualkan menentang pemain
Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk di pusingan pertama.
Dia dijangka akan mengulangi
aksi akhir seperti tahun lalu di National Indoor Arena, Birmingham, England
apabila bertemu Chen Long namun ketika itu dia tewas dengan keputusan straight
set, 17-21, 18-21.
Jika berjaya melepasi halangan
Tanongsak, Chong Wei bakal berdepan rakan sepasukan, Chong Wei Feng atau Marc
Zwiebler dari Jerman sebelum dijangka membuat perhitungan dengan pilihan
ketujuh dari China, Du Pengyu pada saingan suku akhir.
Pada peringkat separuh akhir
pula, Chong Wei mungkin akan berdepan pemain pilihan keempat, Jan O Jorgensen dari
Denmark atau pilihan kelima, Kenichi Tago dari Jepun.
Sementara itu, juara Terbuka
Malaysia 2014, Goh V Shem-Lim Khim Wah memikul tugas berat apabila perlu
menyingkirkan pilihan ketiga, Mathias Boe-Carsten Mo gensen dari Denmark pada
pusingan pertama dalam kategori beregu lelaki.
Sekiranya berjaya melepasi
saingan pertama itu, V Shem-Khim Wah akan bertemu sama ada rakan senegara,
Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd. Tazari atau Gideon Markus
Fernaldi-Markis Kido dari Indonesia pada pu singan kedua.
Kemudian V Shem-Khim Wah
dijangka akan menentang satu lagi beregu negara yang juga pilihan kelima, Hoon
Thien How-Tan Wee Kiong pada suku akhir.
SUMBER:Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140220/su_05/All-England-bukan-istimewa#ixzz2tuJeG7fO
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment