PEMAIN tengah pasukan Felda
United, Shahrulnizam Mustapa optimis bahawa mereka mampu melakar kemenangan ke
atas Sarawak pada aksi suku akhir kedua kempen Piala FA di Stadium Negeri,
Kuching pada Selasa ini.
Bekas kapten pasukan Perak itu
mengakui, skuad yang terkenal dengan gelaran Nyap Sayot itu memiliki peluang
cerah untuk menempah slot ke separuh akhir berdasarkan rekod cemerlang pasukan
itu menghadapi pasukan lawan ketika beraksi di halaman sendiri.
"Saya dan rakan-rakan akan
cuba melakukan yang terbaik pada Selasa ini memandangkan pasukan Felda United
semakin kuat hasil persefahaman dan hubungan erat sebagai sebuah keluarga yang
wujud dalam pasukan ini," katanya semalam.
Beliau ditemui selepas
menghadiri Kejohanan Futsal Puma EvoPower di Sports Planet Subang Grand, Subang
Jaya semalam.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan
terikat seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama di Stadium Majlis
Perbandaran Selayang, Selasa lepas.
Dalam pada itu, Shahrulnizam
memuji corak taktikal yang digunakan jurulatih skuad Felda United, Irfan Bakti
Abu Salim yang memberikan peluang kepada muka-muka baharu untuk beraksi dalam
beberapa perlawanan Liga Premier sebelum ini.
Katanya, usaha itu penting bagi
memastikan para pemain skuad The Settlers kekal cergas bagi menghadapi jadual
saingan Liga Malaysia yang padat musim ini.
"Dengan perubahan itu,
semua pemain dapat beraksi dalam kesebelasan utama selain memastikan kita tidak
kepenatan dalam menghadapi jadual Liga Malaysia pada musim ini," kata
pemain berusia 32 tahun yang berasal dari Ipoh itu.
Beliau turut meminta rakan
sepasukan untuk meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Liga Premier musim
ini, sekali gus mencerahkan peluang mereka beraksi dalam Liga Super pada 2015.
"Saya harap kejayaan
mengalahkan KL SPA 4-0 di Stadium Hang Jebat (Melaka) semalam (kelmarin) mampu
melonjakkan semangat mereka untuk terus meraih kemenangan dalam perlawanan
selepas ini. - Bernama
Hakcipta terpelihara
KOSMO ONLINE 16.2.14
No comments:
Post a Comment