Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Zaman Khan
KUALA LUMPUR - Dalam masa dua
hari lagi, isu terowong Larkin genap sebulan.
Tidak sampai beberapa hari
selepas insiden itu berlaku, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),
Datuk Hamidin Mohd. Amin berjanji tidak akan berkompromi dengan mana-mana
individu yang dibuktikan bersalah.
Bagaimanapun dari hari ke hari
dan minggu berganti minggu, tiada sebarang surat pertuduhan dikeluarkan
terhadap individu yang bertanggungjawab menyerang pemain import, Evaldo
Goncalves dan jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impaglazzio.
Tiap kali pihak media
bertanyakan perkara yang sama kepada Hamidin atau mana-mana pemimpin FAM
seperti Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi
Hamzah, mereka berjanji surat pertuduhan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Situasi yang berlaku di FAM
turut mendapat perhatian bekas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin badan induk bola
sepak negara itu era 90-an, Tan Sri Zaman Khan.
Walaupun mengakui kes itu
begitu mencabar kewibawaan FAM kerana melibatkan individu berprofil tinggi,
beliau menasihatkan persatuan agar pantas menyelesaikan masalah berkenaan
supaya dapat menepis segala persepsi kurang enak.
"Bagi saya, FAM tidak
bertindak sewajarnya dalam isu ini. Mereka kena buktikan keupayaan menegakkan
keadilan tanpa sebarang unsur pilih kasih.
"Kes ini sudah makan masa
dan saya rasa pelik juga sehingga sekarang tiada apa-apa susulan dilakukan.
"Jika kita hendak
mendisiplinkan pemain, kita hendaklah bermula daripada pegawai-pegawai dahulu.
"Tanpa mengambil kira
siapa individu yang terlibat, salah tetap salah dan sebab-sebab ke atas situasi
tertentu perlu diperjelaskan," katanya ketika dihubungi, semalam.
Tambah Zaman, adalah satu
kerugian jika kes-kes seperti ini boleh menghakis kepercayaan para peminat
ketika dunia bola sepak tempatan sedang meningkat.
"Jika kita hendak majukan
bola sepak dan mencapai aras yang diidam-idamkan, FAM kena sedaya upaya mantap
daripada segi pengurusan.
"Memang tidak dinafikan,
mana-mana organisasi pasti ada sebarang kelemahan, itu kita tidak boleh letak
ke tepi cuma mereka kena sentiasa perbaiki, " katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140226/su_01/FAM-tolong-buka-mulut#ixzz2uQlLXOZz
No comments:
Post a Comment