Pahang mahu PDRM berputih mata
Oleh M.RIZAL NOR
sukan@kosmo.com.my
PAHANG akan memastikan PDRM FC
berputih mata pada aksi suku akhir kedua saingan Piala FA di Stadium Darul
Makmur, Kuantan malam ini.
Skuad Tok Gajah sudah pasti
tidak akan memberi laluan mudah kepada Sang Saka Biru yang turun untuk merebut
peluang ke pusingan separuh akhir Piala FA musim ini.
Penjaga gol utama Tok Gajah,
Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid berkata, Pahang akan memanfaatkan aksi di
laman sendiri untuk memusnahkan impian anak-anak buah Dollah Salleh.
“Kami perlu membuat persiapan
rapi untuk berdepan PDRM FC kerana mereka mempunyai kemampuan luar biasa untuk
mengecewakan kami, apatah lagi dibimbing oleh seorang jurulatih yang cukup
berkaliber.
“Semua posisi harus berfungsi
dengan baik agar kami dapat menguasai permainan dan semua peluang yang dicipta
harus diterjemahkan dengan jaringan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, terlalu banyak
kelemahan yang perlu diperbaiki apabila mereka gagal mempamerkan aksi mantap
ketika tewas kepada Terengganu 0-2 dalam saingan Liga Super di Kuala Terengganu
pada Sabtu lepas.
Pemain yang lebih mesra dengan
panggilan Yan itu berkata, beliau tidak boleh leka dan perlu berkomunikasi
dengan baik bersama pemain pertahanan agar kubu mereka tidak dibolosi dengan
mudah.
“PDRM FC mempunyai penyerang
import yang bagus apatah lagi mereka telah buktikan ketika membelasah Perlis
7-1 pada aksi Liga Premier dan ia perlu diberi perhatian serius,” ujarnya.
Yan memberitahu, ketua
jurulatihnya, Ronald Smith sudah pasti mempunyai kepakaran untuk menyusun
taktikal terbaik agar Tok Gajah mampu menyekat kemaraan pendahulu Liga Premier
itu.“Apa yang pasti, kita mahu perlawanan diselesaikan dalam masa 90 minit,”
jelasnya.
SUMBER KOSMO ONLINE 18.2.14
No comments:
Post a Comment