SEORANG lelaki menarik tali
yang diikat pada kepala seekor lembu ternakannya untuk dipindahkan ke tempat
lain di Malang semalam.- AFP
SIDOMULYO, Indonesia - Debu dan
serpihan batu yang dihamburkan Gunung Kelud di Jawa Timur yang mula meletus
pada pukul 10.56 malam waktu tempatan pada Khamis lalu dianggap oleh sebahagian
penduduk sebagai rahmat kepada diri mereka.
Letusan kuat itu telah
menyebabkan 200,000 orang yang tinggal berdekatan gunung berapi tersebut
berpindah kelmarin manakala empat penduduk lagi terkorban dan tujuh buah
lapangan terbang terpaksa ditutup.
Namun, seorang petani, Imam
Choiri yang berusia 55 tahun berkata, debu dari gunung setinggi 1,731 meter itu
boleh dijadikan baja untuk pokok sayur-sayurannya.
Kawasan penanaman
sayur-sayurannya itu terletak hanya beberapa kilometer dari gunung tersebut.
Choiri berkata, penduduk
tempatan percaya, debu tersebut boleh menyebabkan makhluk perosak tidak
mendekati tanaman.
"Ia merupakan bencana yang
membawa rahmat," katanya.
Debu itu telah berterbangan
sejauh 600 kilometer dari gunung berapi tersebut.
Menurut agensi berita dpa
semalam, mangsa keempat gunung itu ialah seorang wanita berusia 97 tahun yang
mati ekoran masalah kesukaran bernafas.
Dua orang lagi terkorban
selepas bumbung rumah mereka runtuh akibat dihempap debu gunung tersebut
manakala seorang lagi mati kerana masalah kesukaran bernafas.
Semalam, beberapa saintis
menyatakan, aktiviti di Gunung Kelud semakin berkurangan selepas ia mula
meletus pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa
memberi amaran bahawa air dari kawah gunung itu mungkin melimpah jika hujan
turun sekali gus boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh.
Penduduk dilarang untuk kembali
ke rumah mereka yang terletak kira-kira 10 kilometer dari gunung itu.
Namun, sebilangan penduduk
sanggup keluar dari pusat perlindungan untuk memeriksa kehidupan haiwan
ternakan selain membersihkan rumah mereka di kawasan berdekatan Gunung Kelud.
"Lembu-lembu kami perlu
diberi minuman. Jika tidak diberi minuman, haiwan itu akan sakit dan
mati," kata seorang lelaki berusia 45 tahun, Marjito yang menunggang
sebuah motosikal dengan isterinya, Dinayah.
Selepas gunung itu didapati
tidak lagi mengeluarkan letusan kuat, berjuta-juta penduduk membersihkan rumah
mereka yang dipenuhi dengan debu Kelud.
Anggota-anggota polis dan askar
menggunakan meriam air untuk membersihkan jalan-jalan raya yang dipenuhi debu
setebal sehingga 10 sentimeter.
Para penyokong beberapa buah
parti politik turut mengedarkan makanan kepada mangsa-mangsa gunung tersebut
yang terpaksa mendapatkan perlindungan di beberapa buah pusat perlindungan
selepas gunung berkenaan meletus.
Kali terakhir Kelud meletus
adalah pada tahun 1990 apabila lahar dan asap gunung itu telah menyebabkan 30
orang mati.
Pada tahun 1919, letusan kuat
yang boleh didengari ratusan kilometer dari gunung tersebut telah menyebabkan
5,160 orang terkorban.
Setakat ini, terdapat 130 buah
gunung berapi di Indonesia.
Debu gunung itu boleh dijadikan
simen.
Sebilangan penjual debu gunung
tersebut menjualnya pada harga hampir dua kali ganda.
"Debu Kelud merupakan mata
pencarian paling utama kepada saya dan keluarga saya," kata seorang
penjual pasir dari kampung Ngancar, Harjito Huda yang berusia 30 tahun.
Dalam pada itu, empat daripada
tujuh buah lapangan terbang di Jawa Timur telah dibuka semula selepas ditutup
kerana letusan tersebut.
Lapangan Terbang Juanda di
Surabaya turut dibuka semula pada pukul 6 petang semalam.
Bandar raya Surabaya terletak
90 kilometer ke utara gunung tersebut.
Tujuh buah lapangan terbang
yang ditutup sebelum ini terletak di Surabaya, Bandung, Yogyakarta, Solo,
Malang, Semarang dan di bandar Cilacap.
Lapangan terbang itu ditutup
ekoran jarak penglihatan yang terhad disebabkan debu Kelud. - Agensi
KOSMO ONLINE 16.2.14
No comments:
Post a Comment