Oleh Malik Muhamad
TERENGGANU mengotakan janji
untuk menduduki puncak liga apabila menjinakkan pasukan jiran Pahang dengan
kemenangan 2-0, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu
malam tadi.
Bagaimanapun pintu gol
Terengganu terlebih dulu diuji menerusi Mohd Fauzi Roslan pada minit ke-5 namun
tandukan pemain itu yang hanya berdepan dengan penjaga gol tersasar.
Berselang empat minit selepas
itu pemain import Terengganu, Marcio Da Silva, menggegarkan pintu gol lawan
namun sepakan kencangnya menggunakan kaki kiri turut tersasar.
Usaha berterusan Terengganu
akhirnya berhasil menerusi tendangan percuma cantik dari jarak kira-kira 25
meter oleh pemain import dari Australia, Mario Karlovic pada minit ke-20 untuk
gol pertama selepas Ahmad Nordin Alias dijatuhkan pemain lawan.
Pemain import dari Australia
itu yang sebelum ini banyak direhatkan akibat kecederaan hampir menambah
jaringan kedua tuan rumah lima minit kemudian namun sepakan dari luar kotak
penalti berjaya ditampan penjaga gol lawan.Pada minit ke-27, pemain tengah
Pahang, Mohd Hafiz Kamal memperoleh peluang menyamakan kedudukan, namun
tendangan pemain itu sudah dibaca awal penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee
Ramli.
Wira Piala FA 2011, Ahmad
Nordin hampir mencetak nama sebagai penjaring menerusi rembatan kencang dalam
kotak penalti pada minit ke-37, namun tendangannya tidak menepati sasaran.
Memasuki babak kedua
perlawanan, pasukan tuan rumah terus melancarkan serangan menerusi Mohd
Norfarhan Muhammad, Ashari Samsuddin dan Marcio Da Silva namun berjaya
dipatahkan pertahanan lawan.
Pada minit ke-51 dan 57,
Norfarhan dan Mohd Ashari hampir menambah jaringan tuan rumah namun
kecemerlangan penjaga gol lawan Mohd Khairul Azhan berjaya menghalang pintu
golnya daripada dibolosi.
Namun, jaringan kedua yang
dinanti tuan rumah akhirnya berhasil apabila kapten Ismail Faruqi Ashari bijak
meloloskan diri untuk memperdaya penjaga gol lawan hasil umpanan cantik
Norfarhan pada minit ke-69.
Pasukan pelawat yang tidak
berputus asa mencari jaringan memasukkan 'orang besi' Dickson Nwakaeme namun
masih gagal memperoleh jaringan yang akhirnya berkesudahan Terengganu mendahului
2-0 hingga wisel penamat.
MYMETRO ONLINE 16.2.14
No comments:
Post a Comment