Oleh
Helmi Talkah
Kuala Lumpur: Penasihat Kelab
Badminton Nusa Mahsuri, Datuk Seri Jalani Sidek sedia melepaskan jurulatih,
Datuk Misbun Sidek andai menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
bagi jawatan pengarah kejurulatihan.
Jalani berkata, keputusan
terletak di tangan Misbun sepenuhnya dan jika BAM berjaya memujuk bekas
jurulatih perseorangan negara itu kembali ke pangkuan badan induk berkenaan,
dia memberikan sokongan sepenuhnya.
Bagi saya, terpulang kepada
Misbun tetapi sehingga sekarang pun kita belum tahu punca sebenar dia
meninggalkan BAM sebelum ini. Kalau BAM boleh pujuk dan dia bersetuju, saya
tiada masalah, kata Jalani ketika dihubungi, semalam.
Selepas meninggalkan BAM pada
Disember 2010, Misbun bergiat aktif sebagai jurulatih bersama Nusa Mahsuri
dengan program pencarian bakat baru dianjurkan kelab berkenaan dan kini dia
melatih anaknya, Misbun Ramdan Misbun yang keluar daripada BAM, awal tahun
lalu.
Bukan mudah
Mengulas lanjut, Jalani yang
juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol bersama
pasangannya, Razif Sidek bagaimanapun, berkata tugas sebagai pengarah
kejurulatihan BAM bukan tanggungjawab yang mudah dan banyak perkara yang perlu
dipertimbangkan.
Siapa yang duduk dalam BAM cabarannya
besar kerana badan induk itu mahukan keputusan yang cepat apatah lagi tahun ini
ada beberapa kejohanan besar (Piala Thomas, Sukan Komanwel, Kejohanan Dunia dan
Sukan Asia).
Bagi saya, sebagai pengarah
kejurulatihan perlu ada blue print. Individu yang dilantik perlu diberi kuasa
penuh tanpa sebarang gangguan terhadap perancangan yang dilakukan, ini tidak
berlaku ketika Misbun menjadi jurulatih bersama BAM, kata Jalani.
Nama Misbun disebut-sebut
sebagai salah seorang calon untuk jawatan pengarah kejurulatihan yang
dicadangkan oleh bekas anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei selepas usaha
mendapatkan khidmat bekas jaguh perseorangan Denmark, Morten Frost Hansen
dikatakan buntu kerana meminta gaji yang terlalu tinggi sekitar RM100,000
sebulan.
Sumber:Berita Harian online
24.2.14
No comments:
Post a Comment