OlehFERZALFIE FAUZI-ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KECEWA... Koo Kien Keat (kanan)
dan Tan Boon Heong mempamerkan aksi longlai akhir-akhir ini, termasuk
tersingkir awal dari kejohanan Terbuka Malaysia pada awal tahun ini.
KUALA LUMPUR - Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) terus-menerus menerima tamparan hebat apabila pemain
beregu lelaki, Koo Kien Keat menghantar surat untuk meninggalkan skuad
kebangsaan berkuat kuasa 1 Mac ini.
Kien Keat yang sebelum ini
dibekukan daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa bersama
pasangannya Tan Boon Heong akibat prestasi buruk di sejak kebelakangan ini,
terutama semasa Siri Super Premier Terbuka Malaysia bulan lepas, telah
menghantar surat untuk keluar dari pasukan kebangsaan semalam di pejabat BAM di
Stadium Juara, Bukit Kiara.
Perkara itu disahkan oleh
Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria semalam, namun beliau tidak
mengetahui butiran terperinci surat tersebut.
Katanya, hasrat Kien Keat itu
akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu depan.
"Saya tidak tahu secara
terperinci kandungan surat tersebut, tetapi saya diberitahu bahawa Kien Keat
menghantarnya tadi (semalam). Kami akan membincangkan semula tentang surat yang
dihantar Kien Keat dan juga hala tuju pasangannya (Boon Heong) dalam satu
mesyuarat hujung bulan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia
semalam.
Kien Keat baru sahaja
menyambung latihan bersama skuad kebangsaan minggu ini selepas diberi pelepasan
oleh BAM sebelum Tahun Baharu Cina kerana perlu menjalani rawatan laser di
bahagian mata yang dijangkiti kuman.
"Kami (BAM) telah menerima
surat berkenaan tetapi mengenai langkah seterusnya akan dibincangkan kemudian
dalam mesyuarat nanti. Jadi sebarang keputusan akan dibuat dalam mesyurat
tersebut.
"Mesyuarat tersebut akan
membincangkan sama ada kami akan pujuk dia semula atau sebaliknya. Keputusan
kali ini juga akan dilihat dari segi prestasinya sebelum ini dan ujian yang
dilakukan oleh Institut Sukan Negara (ISN) baru-baru ini terhadap semua pemain
badminton negara. Saya akan menyerahkan laporan ISN itu kepada Presiden BAM,
Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff," katanya.
Prestasi dan gandingan pasangan
yang menduduki ranking nombor tujuh dunia itu sebelum ini dipersoalkan banyak
pihak termasuk media, kerana dilihat sudah tidak mampu lagi menunjukkan
persembahan terbaik sejak memenangi gelaran utama terakhir pada 2010 di Terbuka
Malaysia.
BAM telah banyak kali didesak
supaya memecahkan beregu utama negara itu, terutama selepas mereka gagal
membawa pulang sebarang pingat dari Sukan Olimpik 2012 di London.
Desakan tersebut semakin kuat
selepas Kien Keat-Boon Heong menunjukkan prestasi buruk dalam kejohanan
berpasukan campuran, Piala Sudirman, Mei tahun lalu apabila diaibkan oleh
pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin dan pada Terbuka Indonesia sebulan
kemudian mereka ditunjukkan jalan keluar oleh beregu tuan rumah, Alvent
Yulianto Chandra-Markis Kido di pusingan kedua.
Kien Keat-Boon Heong pernah
bertemu Tengku Mahaleel sejurus digugurkan daripada skuad ke Terbuka Jepun
tahun lepas sekali gus mencetus tanda tanya apakah pasangan itu sedia
dipecahkan atau mahu meninggalkan skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, pasangan yang
mula digandingkan sejak 2006, itu diberi talian hayat oleh BAM hingga akhir
tahun lepas untuk membuktikan gandingan mereka masih relevan tetapi gagal
membalas kepercayaan badan kebangsaan itu.
Prestasi buruk ketika Terbuka
Malaysia, apabila tersingkir di pusingan pertama, bulan lepas tidak mendorong
BAM memisahkan beregu lelaki utama negara itu, sebaliknya mereka hanya
dibekukan daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa tetapi meneruskan
latihan seperti biasa.
SUMBER:Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140222/su_01/Kien-Keat-tinggalkan-BAM#ixzz2u0eyENff
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment