Ad

Tuesday, 18 February 2014

Selangor PKNS berhak dihormati - Wan Jamak

REPUTASI yang dimiliki Kelantan sebagai juara bertahan Piala FA tidak lagi mengundang resah pengendali skuad Selangor PKNS, Wan Jamak Wan Hassan.

Kejayaan merobek gawang The Red Warriors sebanyak dua kali ketika tewas 2-3 pada pertemuan aksi suku akhir pertama Piala FA di Kota Bharu minggu lalu sudah cukup bagi membuktikan kesungguhan barisan pemain The Red Ant menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

Justeru, Wan Jamak menuntut persembahan terbaik barisan pemainnya malam ini sekali gus menjamin slot ke separuh akhir.

"Reputasi Kelantan tidak lagi perlu dipertikai namun pada masa sama, skuad PKNS juga berhak dihormati.

"Jadi, saya harap pemain PKNS mampu mencari gol awal sekali gus memberikan tekanan kepada Kelantan esok (malam ini)," katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Wan Jamak juga enggan menjadikan kelebihan gol di tempat lawan disifatkan satu kelebihan buat skuad kendaliannya malam ini.

"Kelebihan dua gol di tempat lawan tidak akan memberikan sebarang makna jika kami sekadar seri atau tewas (malam ini).

"Jadi, kami akan bermain bermati-matian supaya keputusan memihak kepada kami," kata Wan Jamak.

Beliau juga enggan mengundang risiko mengamalkan corak permainan menyerang malam ini biarpun penyerang import, Patrick Wleh Ronaldinho kembali pulih daripada kecederaan selain kehadiran semula Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang sebelum ini menjalani hukuman penggantungan perlawanan gara-gara mengutip kad kuning kedua.

"Saya akui menyerang merupakan strategi pertahanan yang paling baik, namun saya tidak mahu PKNS terjerat dengan kekuatan Kelantan yang tampak utuh di bahagian tengah.

"Kredibiliti yang dimiliki kapten Kelantan, Badhri Radzi pastinya mengundang padah buat kami jika terlalu ghairah menyerang.

"Jika perlu, saya akan menggandingkan Ronaldinho bersama (Karlo) Primorac namun segala-galanya akan ditentukan sebelum perlawanan nanti," kata beliau.

SUMBER KOSMO ONLINE 18.2.14

No comments:

Post a Comment