Ad

Saturday, 15 February 2014

Terengganu tunai janji kuasai takhta Liga Super

Oleh Malik Muhamad

TERENGGANU mengotakan janji untuk menduduki puncak liga apabila menjinakkan pasukan jiran Pahang dengan kemenangan 2-0, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Bagaimanapun pintu gol Terengganu terlebih dulu diuji menerusi Mohd Fauzi Roslan pada minit ke-5 namun tandukan pemain itu yang hanya berdepan dengan penjaga gol tersasar.

Berselang empat minit selepas itu pemain import Terengganu, Marcio Da Silva, menggegarkan pintu gol lawan namun sepakan kencangnya menggunakan kaki kiri turut tersasar.

Usaha berterusan Terengganu akhirnya berhasil menerusi tendangan percuma cantik dari jarak kira-kira 25 meter oleh pemain import dari Australia, Mario Karlovic pada minit ke-20 untuk gol pertama selepas Ahmad Nordin Alias dijatuhkan pemain lawan.Pemain import dari Australia itu yang sebelum ini banyak direhatkan akibat kecederaan hampir menambah jaringan kedua tuan rumah lima minit kemudian namun sepakan dari luar kotak penalti berjaya ditampan penjaga gol lawan.

Pada minit ke-27, pemain tengah Pahang, Mohd Hafiz Kamal memperoleh peluang menyamakan kedudukan, namun tendangan pemain itu sudah dibaca awal penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee Ramli.Wira Piala FA 2011, Ahmad Nordin hampir mencetak nama sebagai penjaring menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-37, namun tendangannya tidak menepati sasaran.

Memasuki babak kedua perlawanan, pasukan tuan rumah terus melancarkan serangan menerusi Mohd Norfarhan Muhammad, Ashari Samsuddin dan Marcio Da Silva namun berjaya dipatahkan pertahanan lawan.

Pada minit ke-51 dan 57, Norfarhan dan Mohd Ashari hampir menambah jaringan tuan rumah namun kecemerlangan penjaga gol lawan Mohd Khairul Azhan berjaya menghalang pintu golnya daripada dibolosi.

Namun, jaringan kedua yang dinanti tuan rumah akhirnya berhasil apabila kapten Ismail Faruqi Ashari bijak meloloskan diri untuk memperdaya penjaga gol lawan hasil umpanan cantik Norfarhan pada minit ke-69.

Pasukan pelawat yang tidak berputus asa mencari jaringan memasukkan 'orang besi' Dickson Nwakaeme namun masih gagal memperoleh jaringan yang akhirnya berkesudahan Terengganu mendahului 2-0 hingga wisel penamat.

Harimau Muda harapan masa depan bola sepak negara
Selaras dengan usaha membangunkan bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sentiasa mengatur pelbagai rancangan untuk skuad kebangsaan.

Bukan setakat skuad senior, malah FAM tetap menjadikan Harimau Muda A, B dan C sebagai keutamaan kerana bagi kami, apalah maknanya jika kita mempunyai pasukan senior yang kuat andai barisan pelapis dibiarkan longlai begitu saja.

Menyedari hakikat itu, kami mengatur rencana untuk membolehkan skuad muda negara itu beroleh pelbagai pendedahan baik tidak kira di dalam atau di luar negara kerana apa yang paling penting, misi kami untuk memberikan pengalaman dan pendedahan kepada pemain muda itu dapat dicapai.

Bagi pihak FAM, kami sentiasa mahu memberikan yang terbaik supaya pasukan kebangsaan mempunyai pemain berkualiti untuk membawa cabaran negara di mana-mana pertandingan.Untuk pasukan Harimau Muda A, kami akan menghantar mereka untuk menyertai Liga Premier Queensland di Australia bermula bulan depan hingga Ogos ini.Malaysia akan menjadi pasukan luar pertama yang bermain di liga berkenaan.

Sebanyak 14 pasukan terbabit di liga Queensland dan ia medan terbaik untuk pemain pemain di bawah 23 tahun negara menimba ilmu serta pada masa sama, meningkatkan kualiti permainan mereka.Pasukan Harimau Muda A akan dapat bermain sekurang-kurangnya 26 perlawanan nanti.

Walaupun ramai yang mempertikaikan keputusan FAM untuk menghantar pasukan itu bermain di liga Queensland, kami melihatnya daripada sudut positif.Ini medan terbaik dalam misi kita melangkah ke pusingan kedua Sukan Asia Incheon tahun ini dan aksi itu akan menjadi persediaan awal untuk Sukan SEA Singapura yang akan berlangsung tahun hadapan.


Selepas gagal mempertahankan emas tahun lepas di Myanmar, kami tidak rela untuk melihat pingat emas jatuh ke negara lain sekali lagi.Saya percaya di bawah kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee (gambar) dan pembantu barunya Rusdi Suparman, pasukan Harimau Muda A mampu mencapai sasaran yang diberikan.


Pendedahan itu juga akan menjadi lonjakan dalam usaha memantapkan pasukan senior.Selain Harimau Muda A, FAM juga memberi perhatian penuh kepada Harimau Muda B dan juga Harimau Muda C.Pasukan Harimau Muda B di bawah kendalian Razip Ismail, akan terus bermain di Liga Singapura seperti mana perjanjian antara FAM dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) hingga 2015.

Kami meletak sasaran untuk muncul empat terbaik tahun ini bagi skuad bawah 21 tahun itu.Tidak terkecuali, Harimau Muda C yang mempunyai misi penting tahun ini.Di bawah kendalian jurulatih baru Hassan Sazli yang sebelum ini bertindak sebagai penolong jurulatih Harimau Muda C, mereka akan bermain di dalam Liga FAM mulai bulan depan hingga Julai.

Pada Ogos nanti, pasukan terbabit akan menyertai Liga Premier Slovakia selama tiga bulan. Pemain skuad bawah 19 tahun itu akan diberikan pendedahan yang sebaiknya untuk menjadi pelapis terbaik kepada pasukan senior.FAM akan memantau dari semasa ke semasa untuk memastikan segala perancangan yang diatur untuk setiap pasukan itu akan berjaya dilaksanakan.

MYMETRO ONLINE 16.2.14

No comments:

Post a Comment