Ad

Saturday 22 February 2014

'Macam gantung tak bertali

Oleh FERZALFIE FAUZI-ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 KECEWA kerana dibekukakan daripada sebarang kejohanan sejak bulan lalu mendorong Koo Kien Keat (kanan) keluar meninggalkan BAM.
KUALA LUMPUR - Merasakan dirinya seperti digantung tidak bertali, selain samar tentang hala tuju sepanjang tahun ini antara sebab utama mengapa jaguh beregu negara, Koo Kien Keat bertindak meninggalkan skuad badminton kebangsaan.

Menurut Kien Keat, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana sehingga hari ini Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff gagal memberitahu mengenai kedudukan sebenarnya sejak dibekukan daripada sebarang kejohanan, bulan lalu.

"Saya tidak tahu sampai bila (dibekukan). Saya rasa kami sudah membincangkan mengenai perkara ini beberapa kali, sekurang-kurangnya ada sesuatu (tentang masa depan dan gandingannya bersama Tan Boon Heong)," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Kien Keat menghantar surat untuk meninggalkan skuad kebangsaan kelmarin dan perkara itu disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria.

"Tidak ada sebarang jawapan mengenai hala tuju kami dan beliau (Presiden) tidak pernah datang balik kepada kami, jadi saya merasakan diri saya tiada hala tuju," katanya lagi dalam nada yang cukup kecewa.

Kien Keat berulang kali berkata, dia mahu mendengar jawapan daripada badan induk itu, malah pada satu tahap meminta Mingguan Malaysia membantunya untuk mendapat penjelasan daripada Presiden BAM.

"Sekarang mereka mahu atau tidak mahu (khidmatnya), saya fikir ia terlalu lama.

"Abang boleh tolong tanya kepada Presiden untuk saya?," kata Kien Keat yang baru sahaja menyambung latihan bersama rakan-rakan lain selepas menjalani rawatan laser kerana matanya dijangkiti kuman.

Kien Keat dan pasangannya, Boon Heong dibekukan daripada menyertai sebarang kejohanan oleh BAM sejak bulan lalu, tidak lama selepas mereka tersingkir daripada pusingan pertama kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur.

Bekas beregu No. 1 dunia itu gagal meraih sebarang kejuaraan utama sejak kali terakhir memenangi Terbuka Malaysia 2010 dan gagal memenuhi sasaran untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Dunia di Guangzhou, tahun lalu.

"Saya tahu sekarang semua tidak berani dengan Presiden dan saya pun tidak mahu memberi tekanan kepada diri saya sendiri, jadi saya memulakan langkah pertama (menghantar surat tinggalkan BAM).

"Mungkin ini adalah tindakan saya untuk mendapat jawapan daripada Presiden, kerana saya mahu meneruskan kehidupan seperti biasa, saya juga sudah berkahwin sekarang dan mempunyai keluarga," katanya.

Pengurusan lama BAM di bawah Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh sebelum ini memberi amaran, pasangan ini akan dipecahkan jika gagal layak ke final Kejohanan Dunia tahun lalu.

Namun apabila BAM beralih teraju, Presiden baharu, Tengku Mahaleel telah memberi talian hayat kepada mereka dan tindakan terkini untuk kedua-dua pemain tersebut adalah dibekukan daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.

Kelmarin, Norza memberitahu, BAM akan membincangkan mengenai kedudukan Kien Keat dan Boon Heong dalam mesyuarat Exco badan kebangsan itu, hujung bulan ini.

Kien Keat-Boon Heong pernah menggegarkan badminton dunia sejak digandingkan buat kali pertama pada 2006 apabila merangkul pingat emas Sukan Asia Doha pada 2006 dan All England 2007.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140223/su_01/Macam-gantung-tak-bertali#ixzz2u69Hj0qz

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment