KUALA LUMPUR 20 Feb. - Simpanan
air di kesemua empangan di seluruh negara diunjurkan hanya mampu membekalkan
air antara satu hingga tiga bulan sekiranya cuaca panas dan kering
berpanjangan.
Presiden Persatuan Penyelidikan
Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, keupayaan untuk
menampung permintaan air bergantung kepada situasi kemarau di setiap negeri dan
saiz serta struktur empangan.
Menurut beliau, kawasan bandar
yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi lazimnya akan mengalami gangguan
bekalan air lebih awal berbanding lokasi lain.
"Situasi itu berlaku
berikutan permintaan yang tinggi terhadap bekalan air di kawasan bandar yang
kebiasaannya terletak jauh daripada kawasan bekalan air.
"Sebagai perbandingan,
empangan di Malaysia pada 30 tahun lalu berupaya menakung air untuk tempoh yang
lebih panjang semasa musim kemarau kerana pembangunan di kawasan bandar masih
kurang pesat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Piarapakaran mengulas tentang
kemungkinan negara dilanda krisis bekalan air sekiranya paras air empangan
terus menyusut akibat cuaca panas dan kering di seluruh negara.
Laman web Jabatan Pengairan dan
Saliran (JPS) menunjukkan, setakat pukul 8 malam tadi, sebanyak 15 empangan
yang dipantau menerusi sistem Info Kemarau mencatatkan simpanan air di bawah
paras normal.
Namun, simpanan air di Empangan
Chereh, Kuantan, Pahang adalah pada paras 72.97 melebihi paras normal 65 meter.
Beliau menambah, sebagai langkah
jangka pendek, syarikat bekalan air hendaklah mengoptimumkan bekalan air
terawat.
"Bagi langkah jangka
panjang pula, empangan baharu yang bakal dibina mesti berupaya menakung air
pada kadar 50 peratus melebihi permintaan semasa," ujarnya.
Piarapakaran turut menyarankan
langkah lain seperti mengurangkan kadar air tidak terhasil, mempertingkatkan
sistem bekalan air secara kolektif dan larangan kegiatan pembalakan di kawasan
tadahan hujan.
Sementara itu, Timbalan Menteri
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu, masalah
bekalan air di seluruh negara masih belum kritikal.
Walau bagaimanapun, jelas
beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan syarikat bekalan air
telah diarahkan membuat pelan tindakan sekiranya paras simpanan air empangan
turun di bawah 45 peratus.
"Catuan bekalan air
terpaksa dilakukan apabila simpanan air di empangan kurang daripada 45
peratus," katanya.
Mahdzir juga berharap orang
ramai menjimatkan penggunaan air dan membuat persediaan bagi menghadapi
kemungkinan gangguan bekalan air berlaku.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140221/dn_01/Air-hanya-cukup-untuk-tiga--bulan#ixzz2tyTKdc3H
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment