KUALA LUMPUR 15 Feb. - Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 akan selesai diagihkan kepada kesemua 7.03 juta
penerima dalam tempoh 20 hari sahaja berbanding kira-kira empat bulan sebelum
ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk
Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, lebih empat juta penerima akan menerima
bantuan tunai itu menerusi akaun bank pada hari pelancaran BR1M 3.0 oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Februari ini.
Katanya, lebih dua juta
penerima lagi yang tidak mempunyai akaun bank akan menerima bayaran menerusi
penyampaian baucar yang akan dibuat secara berperingkat-peringkat di setiap
kawasan Parlimen bermula 23 Februari ini.
"Secara keseluruhannya,
program BR1M 3.0 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4.2 bilion daripada
kerajaan, dijangka memanfaatkan hampir 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta
individu bujang," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini
hari ini.
Dalam pembentangan Bajet 2014
yang diumumkan Najib pada Oktober lepas, isi rumah berpendapatan bulanan
RM3,000 dan ke bawah yang layak akan menerima bantuan BR1M sebanyak RM650,
sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan akan
menerima bantuan RM300.
Pemberian BR1M yang mula
dilaksanakan pada 2012 memberi manfaat kepada kira-kira 4.18 juta isi rumah
tahun tersebut manakala sebanyak 4.81 juta isi rumah dan dua juta individu
bujang menerima bantuan itu tahun lalu.
Menurut Ahmad Husni, kerajaan
mengambil keputusan menyalurkan BR1M terus ke dalam akaun penerima supaya
proses tersebut tidak mengambil masa terlalu lama.
"Ada orang menyatakan kita
mesti melaksanakan penyampaian seperti dahulu tetapi kita cakap tidak kerana
rakyat perlu duit segera. Sebab itu, kita masukkan terus BR1M ke dalam akaun
penerima yang ada akaun bank.
"Kalau kita buat majlis
untuk lebih tujuh juta penerima BR1M, ia akan mengambil masa selama kira-kira
empat bulan untuk selesai diagihkan," katanya.
Mengulas mengenai caruman
i-BR1M bernilai RM50 kepada penerima isi rumah dengan jumlah perlindungan
maksimum sehingga RM30,000, Ahmad Husni berkata, skim insurans tersebut
diperkenalkan tahun ini selepas mendapati ramai penerima BR1M meninggal dunia
setiap tahun termasuk lebih 50,000 orang pada tahun lalu.
"Mereka yang meninggal
dunia akibat kematian semulajadi akan menerima RM1,000 manakala yang meninggal
dunia akibat kemalangan atau mengalami kecacatan kekal akan menerima sehingga
RM30,000," katanya.
Menurut beliau, selain
Malaysia, sebilangan negara lain seperti Singapura, Iran, Macau, Amerika
Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada dan Hong Kong turut memperkenalkan
program bantuan tunai atau seumpamanya untuk membantu meringankan beban hidup
rakyat.
Dalam pada itu, Ahmad Husni
memberitahu, Malaysia berkemungkinan mencapai sasaran proksi untuk pendapatan
(PNK per kapita) RM49,620 pada 2020 lebih awal berdasarkan pencapaian semasa.
Katanya, ini kerana Malaysia
dijangka mencapai PNK per kapita kira-kira RM33,957 pada tahun ini.
"Malah, kajian oleh
Jabatan Perangkaan mendapati pendapatan isi rumah di Malaysia melonjak pada
kadar pertumbuhan tahunan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 7.2 peratus
kepada RM5,000 pada 2012," ujarnya.
SUMBER;Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140216/dn_03/BR1M-30-diagih-dalam-masa-20-hari#ixzz2tQffu27z
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment