Oleh M.RIZAL NOR
sukan@utusan.com.my
Penjaga gol Pahang, Mohd.
Khairul Azhan Mohd. Khalid mahu memastikan PDRM yang dibimbing Dollah Salleh
akan pulang hampa dari Kuantan.
KUANTAN - Selepas seri 1-1
dalam perlawanan pertama di Seremban minggu lalu, Pahang mahu kelebihan beraksi
di tempat sendiri malam ini digunakan sepenuhnya untuk menumbangkan PDRM pada
aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur.
Malah, selepas kalah 2-0 kepada
Terengganu dalam perlawanan terakhir Liga Super, Sabtu lalu, penyandang juara
Piala Malaysia itu memerlukan keputusan positif untuk mengembalikan keyakinan
mereka.
Dalam suku akhir pertama
sebelum ini Pahang dan Polis terikat 1-1.
Penjaga gol utama Tok Gajah,
Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan akan
cuba memanfaatkan sepenuhnya aksi di laman sendiri untuk memusnahkan impian
bekas jurulatih mereka, Dollah Salleh.
"Kami membuat persiapan
rapi untuk berdepan PDRM kerana mereka mempunyai kemampuan untuk mengecewakan
kami, apatah lagi dibimbing oleh seorang jurulatih yang cukup berkaliber.
"Semua posisi harus
berfungsi dengan baik agar kami dapat menguasai permainan dan semua peluang
yang dicipta harus diterjemahkan dengan jaringan," katanya.
Khairul Azhan juga mengakui,
banyak kelemahan yang perlu diperbaiki setelah mereka gagal mempamer aksi
mantap ketika tewas kepada Terengganu.
Pemain yang lebih mesra dengan
panggilan Yan itu turut menambah, dia sendiri tidak boleh leka dan perlu
berkomunikasi dengan baik bersama pemain pertahanan bagi memastikan gawang
mereka tidak dibolosi.
"PDRM mempunyai penyerang
import yang bagus dan mereka telah membuktikannya ketika membelasah Perlis 7-1
dalam perlawanan Liga Perdana. Itu perlu diberi perhatian serius,"
ujarnya.
Khairul Azhan berkata, ketua
jurulatih, Ronald Smith sudah pasti mempunyai kepakaran untuk menyusun taktikal
terbaik agar Tok Gajah mampu menyekat kemaraan pendahulu Liga Perdana itu.
"Apa yang pasti kami perlu
mengerah lebih banyak tenaga dan perlawanan perlu diselesaikan dalam masa 90
minit agar kita tidak kepenatan setelah mengharungi jadual yang padat,"
jelasnya.
Tambahnya, limpahan penyokong
di laman sendiri sudah pasti memberi kelebihan kepada Tok Gajah yang sentiasa
bersemangat apabila mendengar laungan mereka.
SUMBER;Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140218/su_03/Tok-Gajah-sedia-ganyang-PDRM#ixzz2tgTLNedC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment