PEMAIN pertahanan JDT, Baihakki
Khaizan menanduk masuk gol pertama JDT walaupun cuba dihalang oleh pertahanan
Selangor, K. Gurusamy dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan
Yunos, Johor Bahru malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
KUALA LUMPUR - Takhta Liga
Super kembali beralih tangan dengan Terengganu merampas daripada Selangor
selepas menewaskan juara Piala Malaysia musim lalu, Pahang dengan keputusan 2-0
di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.
Kejayaan skuad Penyu itu untuk
berada di puncak liga turut dibantu dengan kekalahan Red Giants 1-4 di tangan
Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.
Beraksi di hadapan lebih 10,000
penyokong, Terengganu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan selaku tuan rumah
apabila mendominasi sebahagian besar aksi perlawanan khususnya pada babak
pertama.
Gol pertama tuan rumah hadir
pada minit ke-20 apabila sepakan bebas dari luar kotak penalti yang diambil
oleh pemain tengah, Mario Karlovic melantun sebelum menerjah jaring pelawat dan
hanya mampu diperhatikan oleh penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid.
Anak-anak buah Abdul Rahman
Ibrahim menggandakan kelebihan pada minit ke-69 apabila ketua pasukan, Ismail
Faruqi Ash'ari mudah menolak masuk umpanan penyerang, Norfarhan Mohamad
walaupun pertahanan Pahang cuba membantah jaringan tersebut kerana mendakwa
pemain tersebut berada dalam keadaan ofsaid.
Di Larkin, JDT menunjukkan
taring sebenarnya dan terlalu gagah buat Selangor apabila masih berupaya
menjaringkan empat gol meskipun beraksi tanpa beberapa pemain tonggak seperti
Pablo Aimar dan Aidil Zafuan yang mengalami kecederaan.
Tuan rumah memperoleh gol
pertama pada minit kesepuluh menerusi tandukan kapten pasukan malam tadi,
Baihakki Khaizan yang terus menerjah ke gawang gol dan jaringan kedua melalui
tandukan seorang lagi pemain dari Singapura, Harris Harun pada minit ke-33.
Anak buah Mehmet Durakovic
terus hampa apabila JDT memperoleh gol ketiga pada minit ke-52 menerusi
penyerang dari Argentina, Luciano Figueroa hasil hantaran Amri Yahyah dan
pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas turut meletakkan diri selaku penjaring
pada minit ke-59.
The Red Giants akhirnya
memperoleh gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Paulo
Rangel pada minit ke-59 namun sudah terlewat buat Selangor untuk mengelak
daripada kalah buat kali kedua selepas lima perlawanan.
Kelantan naik ke tangga kedua
Liga Super selepas mudah membenam T-Team dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan
Muhammad IV dengan pemain dari Mesir, Mohamed Shawky Ali membuka tirai jaringan
pada minit ke-32.
The Red Warriors berada dalam
kedudukan selesa dengan dua lagi jaringan melalui ketua pasukan, Mohd. Badhri
Mohd. Radhzi pada minit ke-44 dan Mohammed Ghaddar, pada minit ke-84 sekali gus
mengutip kemenangan ketiga pada musim ini.
Jaringan tunggal penyerang
Serbia, Milorad Janjus pada minit ketujuh memastikan Sarawak meraih kemenangan
ketiga musim ini menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak tetapi kehilangan
Junior Eldstal yang dibuang padang pada minit ke-70. Pengadil, Sukri Abdul
Rahman turut melayangkan lapan kad kuning.
Di Stadium MP Selayang,
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kempunan untuk meraih tiga mata penting apabila
dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Lions XII walaupun The Gladiators
terlebih dahulu di hadapan pada minit keempat melalui Amiridzwan Taj.
Jurulatih Lions, Fandi Ahmad
mengubah percaturan pada babak kedua yang membawa hasil apabila Khairul Amri
menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-47 sebelum Afiq Yunos membuatkan
anak-anak buah B. Sathianathan tertunduk layu apabila menjaringkan gol kemenangan
pada minit-minit terakhir.
SUMBER:
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140216/su_01/Selangor-tumbang-Terengganu-rampas-takhta#ixzz2tQkGDT4v
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment