Ad

Thursday 20 February 2014

'Saya masih jurulatih JDT'

ALOR SETAR - "Saya tidak tahu, dan setakat ini saya masih jurulatih JDT"
 Itu jawapan yang diulang berkali-kali oleh pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Cesar Ferrando Jimenez apabila digasak wartawan berhubung desas-desus mengatakan beliau akan digantikan oleh bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak dalam masa terdekat.

Cesar yang tenang ketika ditemui pemberita selepas perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Aman kelmarin berkata, di sepanjang pengetahuannya, tiada apa yang berlaku ketika ini dengan kem pasukan tampak ceria meraikan kemenangan demi kemenangan yang diraih kebelakangan ini.

"Saya bekerja untuk Johor dan terus bekerja sehingga diarah meninggalkan pemain-pemain ini. Saya bangga dan seronok dengan segala yang ada di Johor termasuk pasukan, penyokong dan presiden JDT sendiri.

"Tentang apa yang anda tanyakan ini (digantikan Hodak), saya tidak tahu tetapi saya seorang profesional.

"Saya tidak mahu menjadi beban kepada mana-mana pihak. Kini, saya berada jauh dari negara asal dan tujuan saya ke sini adalah untuk bekerja dan berseronok, bukan mencari masalah dengan sesiapa," katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kenyataan daripada sumber yang rapat dengan pengurusan JDT mendakwa Hodak sudah hampir pasti untuk menggantikan Jimenez bagi mengendalikan pasukan berstatus bintang tersebut.

Kehadiran Hodak ke beberapa venue perlawanan membabitkan JDT dan JDT II, termasuk di Stadium Darul Aman kelmarin menguatkan lagi spekulasi itu.

Jika benar khidmatnya ditamatkan JDT, Jimenez yang pernah mengendalikan beberapa kelab ternama termasuk Atletico Madrid hanya sempat mengendalikan Harimau Selatan dalam lima aksi Liga Super dan tiga Piala FA.

Mengulas aksi anak buahnya ketika menentang Kedah, Jimenez berkata, mereka tenang menghalang ‘nafsu besar’ pemain-pemain Kedah.

"Saya harus memuji Kedah dalam perlawanan ini. Mereka menampilkan aksi yang baik dan membuatkan kami bekerja keras.

"Sebab itu, saya bangga anak-anak buah saya yang tenang mengekang mereka. Kedah merupakan pasukan yang bagus," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140220/su_06/Saya-masih-jurulatih-JDT#ixzz2tuGEX9NF © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment