Ad

Saturday, 15 February 2014

8,000 pesawah dijangka terjejas

 Oleh AZHARI ZAINOODDIN
utusanpenang@utusan.com.my
 
PERMATANG PAUH 15 Feb. - Petani di Kelantan dianggar berhadapan kerugian hampir RM90 juta akibat cuaca panas dan kering yang melanda sekiranya masalah penyaluran air ke kawasan bendang tidak ditangani segera.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ekoran faktor cuaca panas kini, pesawah di negeri itu berdepan masalah sawah kering dan kementerian sedang berusaha mencari jalan bagi mengatasinya.

Menurut beliau, sekiranya penyelesaian segera tidak dilakukan, kira-kira 8,000 pesawah dijangka terjejas.

"Kementerian akan mengambil langkah terbaik dalam memastikan pesawah tidak terbeban dengan masalah ini.

"Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) telah diarah mencari jalan bagi memastikan bekalan air yang cukup dapat disalurkan ke kawasan sawah terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional Pulau Pinang di bangunan Wakaf Seetee Aisah, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN, Datuk Abdul Rahim Hassan dan Ketua UMNO Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Dalam majlis itu, Ismail Sabri turut meluangkan masa melawat pejabat baharu TEKUN berkenaan dan berjumpa dengan usahawan TEKUN di negeri ini.

Beliau menambah, setakat ini kementerian hanya menerima laporan mengenai sawah kering di Kelantan memandangkan kebanyakan kawasan sawah padi di negeri lain seperti Kedah dan Pahang tidak terjejas kerana musim menuai baru selesai.

"Saya sendiri akan ke Kelantan pada Isnin ini bagi meninjau kawasan sawah di negeri itu dan sebarang pengumuman mengenai langkah yang bakal diambil kerajaan akan diumumkan kemudian.

"Walau bagaimanapun, kementerian juga akan terus memantau perkembangan kawasan pertanian di negeri lain dalam memastikan tiada masalah sepanjang musim kemarau ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menyelar sikap sambil lewa kerajaan negeri yang dilihat terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, program membantu rakyat seperti memperkasa ekonomi bumiputera perlu digembleng antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Seperti Pulau Pinang, saya difahamkan tiada program khusus yang dijalankan bagi membantu usahawan khususnya usahawan bumiputera mengembangkan perniagaan mereka.

"Kebanyakan bantuan yang disalurkan termasuk dana bantuan datang daripada agensi Kerajaan Persekutuan seperti TEKUN, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara)," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia akan berbincang dengan China bagi memastikan tiada lagi sekatan terhadap buah-buahan tempatan terutama durian memasuki pasaran negara itu.

Katanya, kini hanya buah-buahan seperti nangka dan durian dalam bentuk sejuk beku dibenarkan kerajaan negara Tembok Besar itu diimport dari Malaysia.
SUMBER:

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140216/dn_04/8000-pesawah-dijangka-terjejas#ixzz2tQdvQfZU © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment