Mohd. Nasir Senin terpaksa
mengangkut air menggunakan baldi yang diambil dari paip di tingkat bawah ke
rumahnya di tingkat lima di pangsapuri Pinggiran Delima, Batu 14, Hulu Langat,
Selangor, semalam.
HULU LANGAT 16 Feb. - Setiap
hari sejak beberapa tahun lalu penduduk Pangsapuri Pinggiran Delima, Batu 14
dekat sini terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi untuk menadah air disebabkan
masalah gangguan air di kawasan perumahan mereka.
Masalah tersebut semakin
meruncing sejak kebelakangan ini selepas Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11
yang menyalurkan bekalan air ke kawasan perumahan di situ masih lagi ditutup.
Penutupan sejak 28 Januari itu
akibat pencemaran ammonia yang tinggi di Sungai Langat.
Keadaan ini menyebabkan urusan
seharian penduduk seperti mandi, membasuh dan memasak menjadi semakin sukar.
Penduduk mendakwa mereka tidak
sanggup lagi berhadapan dengan situasi itu dan berharap pihak bertanggungjawab
menyelesaikan masalah itu dengan segera.
Mereka mendakwa, bekalan air
cuma ada di tingkat satu pangsapuri tetapi tekanan airnya rendah manakala di
tingkat dua hingga lima bekalan air terus terputus.
Tinjauan Utusan Malaysia ke
pangsapuri lapan blok tersebut, hari ini mendapati dakwaan tersebut berasas
apabila beberapa penduduk dilihat mengangkut air yang diambil dari tingkat
bawah menggunakan baldi ke tingkat atas.
Seorang penduduk, Mohd. Nasir
Senin, 30, berkata, masalah itu benar-benar memberi tekanan kepada mereka.
Menurutnya, pihak Syarikat
Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) ada menghantar lori tangki bagi
menyalurkan bekalan air kepada penduduk pada Rabu lalu kira-kira pukul 10
malam.
"Bekalan tersebut tidak
mencukupi jika dihitung jumlah penduduk di sini.Memandangkan tiada pilihan lain
kami sekeluarga terpaksa menumpang mandi di rumah ibu di Bangsar selain pergi
ke air terjun berhampiran di Sungai Congkak.
"Keadaan itu juga turut
mengganggu persiapan anak-anak untuk ke sekolah,"katanya.Isterinya,
Norhafiza Hamdan, 28, pula berkata, bekalan air di tangki simpanan mereka juga
hanya bertahan untuk seketika waktu sahaja."Keadaan ini benar-benar
memberi tekanan kepada kami lebih-lebih lagi untuk melakukan kerja-kerja di
rumah seperti memasak dan membasuh pakaian," katanya.
Turut berkongsi perasaan
seorang suri rumah Norliza Mohd, 38,.Katanya, dia turut berharap situasi itu
tidak berterusan."Saya berharap Syabas dapat menghantar bantuan air
melalui lori tangki lebih kerap ke tempat kami,"katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140217/wk_02/Kami-tak-sanggup-hidup-begini---Penduduk#ixzz2tYk9V6Jp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment