Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
ENTAH di mana silapnya,
penyerang muda negara, Ahmad Fakri Saarani sering menjadi ‘mangsa’ kritikan
negatif pelbagai pihak setiap kali dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya.
Sering mendapat kepercayaan
jurulatih terdahulu iaitu Datuk K. Rajagobal sebelum ini, penyerang Kelantan
itu juga kekal dalam radar pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee dalam
senarai pelatih kali ini menjelang aksi berdepan Yemen dalam aksi terakhir
Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Dubai pada 5 Mac depan.
Bagaimanapun, Fakri, 25,
percaya fokusnya tidak terjejas biarpun kehadirannya bersama skuad Harimau
Malaya seolah-olah tidak ‘direstui’ pemerhati bola sepak dan juga peminat
sebelum ini.
“Saya tidak tahu hendak komen
apa. Bukan mereka (pengkritik) yang pilih saya.
“Sebagai pemain, saya akan
memberikan yang terbaik setiap kali dipanggil menyarung jersi skuad
kebangsaan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Fakri juga
bersedia memberikan cabaran kepada penyerang yang lebih berpengalaman seperti
Mohd. Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha bagi merebut tempat sebagai
penyerang utama Harimau Malaya dalam perlawanan itu nanti.
Selain itu katanya, prestasi
semasa seorang lagi penyerang, Bobby Gonzales juga pastinya menjanjikan satu
persaingan yang sihat dalam usaha memikat hati Kim Swee.
“Buat masa ini, saya juga bebas
daripada sebarang kecederaan dan berazam membantu skuad kebangsaan melakar
kemenangan ketika berdepan Yemen kelak,” katanya.
Selain itu, Fakri juga enggan
menyifatkan kehadirannya bersama skuad Harimau Malaya kali ini sebagai
‘penumpang’ semata-mata.“Jika diberikan peluang, sudah tentu saya mahu beraksi
dalam kesebelasan utama dan bukan sekadar supersub.“Tetapi itu semua terpulang
kepada jurulatih, apa yang pasti saya harus bersedia untuk diturunkan pada
bila-bila masa,” katanya.
KOSMO ONLINE 22.2,14
No comments:
Post a Comment