Ad

Friday, 21 February 2014

Safee sedia galas tugas tanpa Mat Yo

Kelana Jaya: Penyerang negara Mohd Safee Sali bersedia menggalas tugas penting biarpun terpaksa melupakan hasrat untuk kembali bergandingan bersama dengan Norshahrul Idlan Talaha yang diberikan pelepasan daripada menyertai skuad kebangsaan.

Safee, 30, yakin sudah kembali mendapat keyakinan selepas beraksi dalam beberapa perlawanan dengan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam aksi Liga Malaysia (Liga-M) selepas beberapa kali dihimpit kecederaan musim lalu.

“Ketiadaan Mat Yo (Norshahrul) dirasai kerana dia dengan saya sudah membentuk persefahaman yang lama, tapi saya percaya jurulatih mempunyai pilihan pemain lain bagi menggantikan tempat Mat Yo,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan.

Selepas ketiadaan rakan sepasukannya di Johor DT itu, Safee kemungkinan bakal bergandingan bersama Bobby Gonzales, Mohd Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani atau Baddrol Bakhtiar yang berada dalam senarai pemain penyerang dipanggil jurulatih Datuk Ong Kim Swee kali ini.Menurut Safee, dia tidak mempunyai masalah bergandingan dengan mana-mana pemain kerana apa yang penting dapat diturunkan dalam misi getir menentang Yaman dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 5 Mac ini selepas diketepikan ketika Malaysia menang 2-1 di Stadium Shah Alam pada pertemuan pertama tahun lalu.

Sebelum aksi dengan Yaman, Safee mahu mendapatkan kembali sentuhan berbisanya jika diberi peluang bermain menentang Filipina pada perlawanan persahabatan antarabangsa 1 Mac ini.

“Bagi saya keyakinan itu sangat penting dan sudah bersedia untuk beraksi tidak kira diturunkan dalam kesebelasan utama atau simpanan.

Apa yang pasti pertemuan dengan Filipina menjadi medan terbaik untuk menguji keupayaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/22

MYMETRO ONLINE 22.2.14

No comments:

Post a Comment