Ad

Friday 28 February 2014

Adenan Satem angkat sumpah

Oleh ANGELINA SINYANG dan FARHANA JONI
pengarang@utusan.com.my

Adenan Satem mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sarawak di hadapan Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri, Kuching, semalam. - UTUSAN/ MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
KUCHING 28 Feb. - Setelah 33 tahun ditadbir oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud, politik Sarawak berubah wajah apabila Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas), Tan Sri Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima hari ini.

Adenan, 70, yang juga merupakan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri di sini hari ini.

Istiadat pelantikan yang bermula pukul 9.38 pagi itu dihadiri oleh kira-kira 300 tetamu terdiri daripada menteri-menteri Kabinet Sarawak, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, orang kenamaan dan pegawai kanan kerajaan negeri serta Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.

Pada majlis tersebut, Adenan turut diiringi oleh isterinya, Puan Sri Jamilah Anu manakala isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norkiah turut hadir menyaksikan upacara bersejarah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu itu dipilih oleh Abdul Taib yang mengemukakan peletakan jawatannya pada 11 Februari lalu.

Beliau yang dilahirkan pada 27 Januari 1944 di Kuching merupakan graduan undang-undang daripada University of Adelaide, Australia.

Sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Adenan pernah bekerja sebagai wartawan dengan akhbar tempatan, Sarawak Tribune dan guru.

Selepas tamat pengajian, beliau dilantik menjadi Majistret di Kuching bermula 1970 hingga 1972. Pada 1972 hingga 1974, beliau bertugas di Kementerian Perusahaan Utama sebagai Penasihat Undang-Undang Perhubungan Petroleum.

Kerjaya politik Adenan bermula apabila beliau dipilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang pada pilihan raya kecil (PRK) 1979 melawan calon pembangkang, Razali Sabang daripada Parti Anak Jati Sarawak (PAJAR) dan memenangi pilihan raya itu dengan majoriti 2,797 undi.

Adenan pernah dilantik memegang jawatan Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak pada 1985 hingga 1987, Menteri Pembangunan Sosial Sarawak (1992), Menteri Pertanian dan Industri Makanan (1998), ahli Kabinet Sarawak (2001), Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2004), Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (2010 hingga 2011) dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas) bermula 30 September 2011 hingga sekarang.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140301/po_06/Adenan-Satem-angkat-sumpah#ixzz2ufDEbMuj

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment