HAMIDIN mempertahankan reputasi
Harimau Muda A yang bersih daripada gejala tidak bermoral.
SKUAD Harimau Muda A tidak
pernah terbabit dengan gejala rasuah seperti yang didakwa oleh media Australia.
Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) yang terkejut dengan dakwaan tersebut tampil mempertahankan reputasi
skuad remaja negara itu yang tidak pernah terlibat dengan gejala tidak bermoral
itu.
Dua tahun lalu, skuad Harimau
Muda A pernah beraksi dalam Liga Singapura dan mereka tidak pernah terjebak
dengan aktiviti yang tidak sihat itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd. Amin menegaskan, pihaknya sangat kecewa dengan tohmahan yang
dilemparkan oleh media Australia yang mendakwa kedatangan skuad kendalkan Datuk
Ong Kim Swee yang bakal beraksi di Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queenlands
pada bulan depan, bakal memberikan ruang buat sindiket perjudian untuk mengatur
perlawanan di liga tersebut.
Mengulas lanjut, Hamidin
berharap pihak pengurusan NPL Queensland dapat menjelaskan perkara sebenar
kepada media mereka agar tidak lagi mencetuskan suasana tidak harmoni kepada
pasukan muda negara yang akan beraksi di NPL pada 8 Mac nanti.
"Ia satu dakwaan yang saya
sangat kesalkan. Bagi saya, ia lebih kepada spekulasi tetapi di pihak FAM, ia
satu tuduhan yang amat serius.
"Untuk rekod, barisan
pemain Harimau Muda A tidak pernah terlibat atau disiasat dengan skandal
mengatur keputusan perlawanan ketika beraksi di Singapura.
"Sudah tentu ia tidak adil
buat pihak kami dengan tuduhan tersebut kerana skuad Harimau Muda A adalah
'bersih' daripada gejala yang tidak bermoral itu.
"Kami akan mengusulkan
laporan media ini kepada pihak NPL Queensland. Kami tidak mahu kedatangan kami
ke sana tidak senangi oleh peminat-peminat mereka," katanya ketika
dihubungi Kosmo!, semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, satu
laporan media Australia, Brisbane Times menyifatkan, kedatangan skuad bawah 23
tahun (B-23) bakal memberikan 'ruang' lebih besar buat sindiket perjudian untuk
mengatur perlawanan di NPL.
Laporan tersebut memetik
kembali beberapa insiden termasuk rekod-rekod bookie yang mana penjaga gol
Geylang United, Yazid Yasin pernah disogok untuk menjual perlawanan ketika
menentang Harimau Muda A pada aksi Liga Singapura 2012.
Biarpun menegaskan Harimau Muda
A bebas daripada sebarang kes skandal mengatur keputusan perlawanan, pihak
media Australia itu percaya, kedatangan skuad muda negara bakal memberikan impak
negatif kepada NPL Queensland.
Di sebalik tanggapan negatif
dari media luar, Hamidin menegaskan FAM tidak akan sesekali menarik diri
daripada beraksi di NPL Queensland.
Katanya, kerjasama beraksi di
NPL Queensland telah mendapat kebenaran dari Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
"Seperti yang saya katakan
tadi, ia lebih kepada spekulasi media luar sahaja dan kami tetap akan beraksi
di NPL Queensland.
"Mengapa harus tarik diri
sedangkan FAM telah mendapat kebenaran daripada FIFA dan AFC untuk beraksi di
NPL Queensland?
"Jadi, saya tidak nampak
mengapa Harimau Muda A harus tarik diri dan persiapan skuad muda negara adalah
lebih penting daripada memikirkan tanggapan negatif media Australia,"
katanya.
SUMBER KOSMO ONLINE 18.2.14
No comments:
Post a Comment