Ad

Sunday 23 February 2014

Karier tiada hala tuju

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
KIEN KEAT mengakui masa depan kariernya bersama BAM sudah tidak ada hala tuju.

"SAYA berasakan karier saya sudah tidak ada hala tuju." Demikian jelas pemain badminton beregu negara, Koo Kien Keat semalam yang mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurut Kien Keat, sebelum ini dia sudah mengadakan pertemuan dengan Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff namun sehingga kini tidak mendapat jawapan mengenai masa depannya.

Jelas Kien Keat, tindakannya itu bukan bermakna mahu menyalahkan sesiapa kerana dia cuma mahukan jawapan sama ada BAM masih memerlukan khidmatnya atau tidak.

"Sehingga sekarang, presiden tidak memberi sebarang jawapan. Saya sudah berbincang banyak kali, saya mahukan sesuatu tetapi tetap tiada jawapan.

"Dia (Presiden) pun tidak bertanya kepada saya, jadi saya rasa khidmat saya seperti sudah tiada hala tuju, saya pun tidak mahu memberi tekanan pada diri sendiri, jadi lebih baik saya mengambil tindakan meninggalkan BAM.

"Saya harap dengan cara ini saya boleh dapat jawapan, dalam kes ini juga saya tidak mahu salahkan sesiapa kerana saya hanya mahukan jawapan.

"Jadi sekarang, saya teruskan hidup seperti biasa dan menunggu kelahiran anak sulung (dijangka April depan)," ujar Kien Keat.

Pemain yang bergandingan dengan Tan Boon Heong itu telah menghantar surat untuk meninggalkan BAM berkuat kuasa 1 Mac depan itu di pejabat BAM pada Jumaat lalu.

Sebelum ini, Kien Keat-Boon Heong dibekukan daripada menyertai sebarang kejohanan selepas prestasi hambar yang mereka pamerkan pada Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014 bulan lalu.

Mereka tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan tersebut.

BAM dilaporkan mengambil tindakan tersebut kerana mahu membuat penilaian semula terhadap prestasi mereka sebelum keputusan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Keupayaan, Kemahiran dan Penyelidikan (CSR) BAM hujung bulan ini.

Bagaimanapun, keputusan yang dinanti-nantikan itu terlalu lama sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai masa depan kedua-dua pemain yang mula digandingkan sejak 2006 itu.

Ketiadaan Kien Keat mungkin akan memberikan kesan kepada skuad negara terutama dalam persiapan skuad beregu lelaki untuk menghadapi beberapa kejohanan utama tahun ini iaitu Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

SUMBER;KOSMO ONLINE 23.2.14

No comments:

Post a Comment