Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Gara-gara
tulisan doktor yang kurang difahami telah menyebabkan surat pertuduhan kepada
pemimpin tinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), yang didakwa terlibat
dalam kekecohan di Larkin ketika perlawanan Piala FA awal bulan ini lewat
daripada dikeluarkan.
Menurut sumber, Jawatankuasa
Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa meminta pengurusan
T-Team menghantar laporan perubatan doktor yang memeriksa pemainnya, Evaldo
Goncalves dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo sekali lagi,
kali ini secara bertaip dan bukannya tulis tangan.
Goncalves dan Impagliazzo telah
membuat laporan polis, bahawa mereka dikasari oleh pemimpin tinggi PBNJ di
dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan pemain sewaktu pertemuan
T-Team dengan Johor Darul Ta'zim dalam pusingan kedua Piala FA berhenti rehat.
Mereka turut mendapatkan pemeriksaan doktor.
Namun, selepas sepuluh hari
semenjak FAM meminta laporan perubatan berkenaan, T-Team masih belum memberikan
maklum balas yang menyebabkan masih tiada sebarang dakwaan dapat dilakukan ke
atas pengawai tinggi PBNJ itu.
Sumber itu memberitahu, laporan
doktor berkenaan cukup penting buat Jawatankuasa Tatatertib kerana laporan itu
boleh menentukan Kod Tatatertib bersesuaian yang akan digunakan untuk mendakwa
pemimpin tinggi PBNJ itu.
"Mengenai surat pertuduhan
(ke atas pemimpin PBNJ terlibat), saya difahamkan sudah hampir siap dan telah
mendapat maklum balas daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin (Mohd. Amin)
serta Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib (Datuk Taufek Abdul Razak), cuma
laporan doktor yang memeriksa Evaldo dan Stefano yang melambatkan.
"Tulisan tangan doktor
berkenaan sukar difahami, jadi sukar untuk menentukan pertuduhan itu
dikeluarkan di bawah akta yang mana.
"Saya difahamkan
Jawatankuasa Tatatertib telah meminta T-Team agar mendapatkan laporan doktor secara
menaip. Ini adalah satu amalan biasa jika di dalam mahkamah sekali pun, tetapi
masalahnya pihak T-Team sehingga hari ini belum menghantar laporan yang
diminta, itu sebab kes ini lambat dibicarakan," kata sumber itu ketika
ditemui Mingguan Malaysia.
Berdasarkan Kod Tatatertib yang
termaktub, individu yang menyerang Evaldo atau Stefano boleh didakwa di bawah
tiga pertuduhan berbeza iaitu Perkara 2.4, iaitu melakukan serangan secara
fizikal tetapi tidak memberikan sebarang kecederaan.
Dua lagi pertuduhan ialah di
bawah Perkara 2.5 iaitu melakukan serangan secara fizikal serta mendatangkan
kecederaan atau Perkara 2.6 iaitu melakukan serangan secara fizikal dan
membuatkan mangsa mendapat kecederaan parah.
Selain itu, sumber berkenaan
memberitahu pihak PBNJ juga akan dikeluarkan surat pertuduhan atas kegagalannya
mengawal keamanan semasa pemain T-Team menuju bilik persalinan.
"Mengenai kawalan
keselamatan secara keseluruhan, dijangka satu lagi surat pertuduhan akan
dikeluarkan kepada PBNJ kerana tidak mampu menghalang kekecohan daripada
berlaku," katanya.
Sebelum ini, Hamidin
memberitahu wartawan pada Selasa lalu yang surat pertuduhan mengenai insiden
Evaldo ditumbuk dan Stefano ditendang di bahagian kemaluan ketika menuju bilik
persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos hampir pasti akan
dikeluarkan.
Perlawanan pusingan kedua Piala
FA pada 1 Februari itu tidak dapat disambung untuk babak kedua apabila pemain
T-Team enggan meneruskan permainan ekoran insiden berkenaan, sebelum
Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) memutuskan untuk memberikan
kemenangan 3-0 buat skuad Harimau Selatan.
Selain itu, isu pergaduhan
penyokong yang membabitkan Pahang dan JDT di perkarangan Stadium Darul Makmur,
Kuantan pada 7 Februari dan kereta pengurus pasukan Perak dipecahkan di Larkin,
juga akan disiasat oleh Jawatankuasa Tatatertib.
SUMBER:
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140216/su_02/Gara-gara-tulisan-doktor#ixzz2tQibMCFc
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment