Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
SLOVAKIAN muncul juara edisi
2014 selepas menewaskan Iran pada perlawanan akhir.
SAINGAN Piala Antarabangsa
Frenz (FIC) Bawah 16 Tahun (B-16) 2014 telahpun melabuhkan tirainya baru-baru
ini.
Ternyata, skuad B-16 Slovakia
berada dalam kelas tersendiri apabila mempertahankan kejuaraan buat kali kedua
berturut-turut selepas menewaskan skuad B-16 Iran 2-0 di pentas final yang
berlangsung di Stadium Frenz Janda Baik, Bentong Pahang pada 26 Januari lalu.
Selepas muncul juara edisi
pertama apabila mengecewakan kelab Iran, Persepolis FC pada 2012, skuad
kendalian Ladisav Pecko tampil cemerlang mempertahankan trofi pada edisi kali
ini sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$50,000 (RM160,000).
Skuad B-16 Iran yang terpaksa
berpuas hati dengan gelaran naib juara pula membawa pulang wang tunai AS$25,000
(RM80,000) sementara kelab dari Brazil, Internacional meraih AS$15,000
(RM48,000) manakala Sporting Lisbon dari Portugal pulang dengan AS$10,000
(RM32,000) apabila muncul pemenang tempat ketiga dan keempat.
Dua wakil tuan rumah bersama,
Frenz United Malaysia dan Frenz United Indonesia pula terpaksa berputih mata
apabila tersingkir awal di peringkat kumpulan pada edisi kali ini.
TERKANDAS DI KUMPULAN MAUT
BERADA dalam 'kumpulan maut'
sememangnya mematikan langkah skuad Frenz United Malaysia untuk mara lebih jauh
kali ini.
Selepas menamatkan saingan di
tempat ketiga dalam edisi sulung kejohanan pada dua tahun lalu, skuad kendalian
S. Balachandran bagaimanapun gagal menempah slot ke separuh akhir kali ini
biarpun berjaya mengutip 10 mata.
Membuka tirai Kumpulan A dengan
langkah kiri apabila ditewaskan skuad B-16 Slovakia dengan kekalahan tipis 2-3,
Frenz United Malaysia kemudiannya terikat tanpa jaringan dengan Internacional
sebelum mengatasi Incheon United dengan kemenangan 2-0.
Anak-anak buah Balachandran
kemudiannya mengejutkan kelab Turki, Besiktas dengan kemenangan bergaya 4-1
sebelum mengatasi Dalian Aerbin dari China 2-0 dalam aksi terakhir kumpulan.
Namun, ia masih belum cukup
untuk mengekang kemaraan skuad B-16 Slovakia dan Internacional yang
masing-masing layak ke separuh akhir apabila berjaya mengutip 12 dan 11 mata.
Meskipun tersingkir awal,
Balachandran tetap berbangga dengan kesungguhan anak-anak buahnya mempamerkan
semangat juang yang tinggi terutamanya ketika berdepan lawan yang kuat dari
benua Eropah.
"Mereka tidak mudah gentar
serta berupaya beraksi dengan baik biarpun berdepan tekanan dalam setiap
perlawanan.
"Saya percaya aksi
kompetitif seperti ini mampu mematangkan corak permainan pemain menjelang
kejohanan yang lebih besar pada masa akan datang," kata Balachandran.
Enggan berterusan meratap
kegagalan silam, Balachandran juga percaya sebahagian besar anak-anak buahnya
yang juga skuad Harimau Muda D kini bersedia mengharungi pusingan akhir Piala
AFC B-16 di Bangkok, Thailand pada penghujung tahun ini.
Untuk rekod, skuad Harimau Muda
D yang dikendalikan Balachandran layak ke pusingan akhir Piala AFC B-16 2014
selepas muncul juara Kumpulan H dengan 10 mata dalam kempen kelayakan di
Vientiane, Laos pada September tahun lalu.
Ia merupakan kali ketiga skuad
muda negara melangkah ke pusingan akhir Piala AFC B-16 selepas 2004 di Jepun
dan juga 2008 di Uzbekistan.
Bagaimanapun, perjalanan skuad
muda negara sekadar terkandas awal di peringkat kumpulan dalam kedua-dua
penampilan tersebut sebelum ini.
"Saya benar-benar berharap
pemain dapat mempelajari sesuatu daripada pengalaman yang diraih sepanjang FIC
2014," kata Balachandran.
BELAJAR DARIPADA KESILAPAN
SKRIP yang sama juga menimpa
wakil tuan rumah bersama, Frenz United Indonesia apabila gagal menempah slot ke
separuh akhir pada edisi kali ini.
Sekadar menduduki tangga
tercorot Kumpulan B dengan tiga mata, harapan seluruh warga Indonesia dilihat
lebur dengan kegagalan anak-anak buah Encang Ibrahim mara lebih jauh dalam
penampilan sulung mereka di pentas FIC.
Biarpun sering 'diganyang'
penyokong sendiri gara-gara gagal mempamerkan aksi terbaik dalam setiap
perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, Encang sebaliknya tidak mahu
menuding jari terhadap anak-anak buah beliau.
"Saya sendiri yang gagal,
bukannya pemain Frenz United Indonesia.
"Persembahan kami pada
kejohanan ini begitu buruk dan amat jauh berbeza berbanding kemampuan sebenar
kami," kata Encang.
Pada edisi kali ini, Frenz
United Indonesia sekadar melakar satu kemenangan apabila mengatasi Chonburi FC
dengan kemenangan tipis 2-1 di Stadium Sultan Agung, Bantul, Yogjakarta
Indonesia.
Namun, mereka selebihnya tewas
0-2 kepada Eintracht Frankfurt; B-16 Iran (0-3) dan tumpas 1-3 kepada Sporting
Lisbon dalam aksi terakhir kumpulan.
Mengulas lanjut, Encang
memberitahu beliau turut kecewa apabila skuad kendaliannya gagal mempamerkan
karakter sebenar biarpun menjadi tuan rumah bersama pada edisi kali ini.
"Mungkin, pemain terlalu
banyak didedahkan dengan aksi pemanas badan sebelum ini sehingga menyebabkan
mereka gagal berada di kemuncak prestasi pada kejohanan ini.
"Ia sememangnya salah saya
kerana gagal mengenal pasti program yang sesuai bagi memastikan kami untuk
sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.
"Jadi, saya memohon maaf
kepada kesemua warga Indonesia atas kegagalan ini.
"Saya juga berharap pemain
dapat membuktikan keupayaan mereka yang sebenar pada kejohanan lain di masa
depan," katanya.
Pada saingan FIC kali ini,
saingan Kumpulan A berlangsung di Janda Baik sementara aksi Kumpulan B di
Yogjakarta, Indonesia.
SEDIA JADI TUAN RUMAH
DALAM pada itu, Yayasan Frenz
United Indonesia bersedia untuk menjadi tuan rumah kejohanan Piala ASEAN Frenz
yang dijangka berlangsung pada pertengahan tahun ini.
Pengarah Yayasan Frenz United
Indonesia, Ophan Lamara berkata, pihaknya sentiasa berbesar hati menganjurkan
kejohanan berprestij seperti itu dalam usaha mencungkil bakat-bakat baharu
serantau.
"Buat masa ini,
segala-galanya masih di peringkat perbincangan.
"Namun, kami percaya mampu
menganjurkan Piala ASEAN Frenz dengan cemerlang hasil pengalaman menjadi hos
bersama FIC 2014 buat julung kalinya sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun, Ophan menetapkan
syarat khas buat skuad Frenz United Indonesia jika mereka menjadi tuan rumah
Piala ASEAN Frenz selepas ini.
"Kami tidak lagi boleh
tersungkur di laman sendiri seperti mana yang berlaku dalam kejohanan FIC kali
ini.
"Pemain Frenz United
Indonesia harus beraksi demi maruah sekiranya kami tampil selaku tuan rumah
selepas ini.
"Jadi, saya harap
kesilapan asas seperti hantaran, kawalan bola dan masalah komunikasi mampu
diatasi pemain Frenz United Indonesia ketika menyertai mana-mana kejohanan
selepas ini," kata Ophan.
USAHA PENGANJUR DIPUJI
APA yang pasti, kecekapan
penganjur, Frenz United menjayakan kejohanan seperti ini wajar dipuji.
Biarpun diuji dengan beberapa
masalah berbangkit seperti Rapture FC dari Nigeria yang menarik diri pada
saat-saat akhir selain saingan separuh akhir juga terpaksa ditunda gara-gara
masalah cirit-birit yang menghantui sebahagian besar pemain, pihak penganjur
jelas tidak mudah mengibarkan 'bendera putih'.
Sebaliknya, kejohanan yang
turut mendapat pengiktirafan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu dilihat
mampu menarik penyertaan beberapa kelab terkemuka Eropah seperti Internacional,
Besiktas, Sporting Lisbon dan juga Eintracht Frankfurt dari Jerman.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd. Amin tanpa berselindung memuji kesungguhan Frenz menyediakan
medan terbaik menghimpunkan bakat-bakat muda berpotensi dari seluruh dunia.
"FAM sentiasa memberikan
sokongan kepada mana-mana pihak terutamanya Frenz yang komited menganjurkan
kejohanan berprestij seperti ini," katanya.
Kejohanan edisi kedua yang
menawarkan ganjaran keseluruhan lebih AS$100,000 (RM318,068) itu dianjurkan
Frenz United dengan kerjasama FAM selain mendapat sokongan rakan penaja seperti
Premiere Hotel, Paradigm Mall, WCT Kids, Restoran Zam Zam, Frenz Hotel, Sparky
Animation dan Qiraman Holidays Sdn. Bhd.
Presiden Kelab Bola Sepak Frenz
United, Datuk Noor Ihsan A Hamid pula percaya kejohanan seperti ini mampu
meningkatkan persembahan bakat-bakat muda negara menggilap potensi
masing-masing sebagai pemain bola sepak yang berjaya satu hari nanti.
"Saya juga berharap
peluang berdepan pasukan yang hebat seperti Internacional dan Besiktas mampu
memberikan pendedahan dan pengajaran berguna buat barisan pemain Frenz United
Malaysia," katanya.
PEMAIN ASIA TENGGARA JUGA
BERPOTENSI
PERCAYA atau tidak, potensi
yang dimiliki pemain dari rantau Asia Tenggara juga tidak jauh bezanya
berbanding pemain Eropah di pentas usia sebegini dan ia diakui pengendali
Sporting, Pedro Concalves.
Menurut beliau, tidak mustahil
pemain-pemain Asia Tenggara mampu menyinar di peringkat yang lebih tinggi
selepas ini jika memiliki program yang teratur serta platform yang terbaik
bermula sekarang.
"Lihat sahaja persembahan
Chonburi FC dari Thailand, mereka memiliki kepantasan serta bijak melancarkan
serangan mengelirukan ke kubu lawan biarpun pemain kami memiliki kelebihan
dalam faktor fizikal.
"Sekarang baru saya tahu
mengapa Chonburi layak digelar jaguh di pentas rantau Asia Tenggara,"
katanya.
Pengendali Frankfurt, Steffen
Kaschel pula memuji persembahan wakil tuan rumah, Frenz United Malaysia dan
Indonesia.
KOSMO ONLINE 3.2.14
No comments:
Post a Comment