Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
Evaldo tiba di Balai Polis
Kuala Terengganu kelmarin untuk membuat laporan polis berhubung insiden yang
menimpanya pada aksi Piala FA di Larkin, Johor Bahru Sabtu lepas.
T-TEAM telah membuat laporan
polis berhubung insiden yang berlaku dalam terowong menuju ke bilik persalinan
pemain sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif T-Team,
Abdul Rasid Jusoh ketika mengesahkan perkara tersebut menjelaskan, pihaknya
terpaksa bertindak demikian bagi menuntut keadilan.
Dalam insiden di Larkin itu,
pemain import skuad The Titans, Elvado Rodrigues dan jurulatih kecergasan,
Stefano Impagliazzo didakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium
berkenaan.
Insiden tersebut telah memaksa
pasukan berstatus kelab itu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan
perlawanan babak kedua atas faktor keselamatan.
Ketika itu, tuan rumah, Johor
Darul Takzim (JDT) sedang mendahului perlawanan 2-1.
T-Team pada mulanya enggan
membuat laporan polis kerana pengurus pasukan, Rozi Mamat mahu menyerahkan kes
itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Begitupun, The Titans akhirnya
tampil di balai polis Kuala Terengganu dengan memberikan kenyataan pada pukul
9.10 malam kelmarin.
Mengulas lanjut, Rasid
menganggap laporan polis itu menjadi pelengkap prosedur dalam aduan rasmi
mereka yang akan dikemukakan kepada FAM dalam masa terdekat.
"Kami tidak mahu
menghantar laporan kosong kepada FAM. Saya berpendapat laporan polis ini akan
melengkapkan laporan kami kepada FAM yang dijadualkan bermesyuarat Khamis ini.
Rasid juga mengesahkan
Rodrigues dan Impagliazzo berada dalam keadaan trauma selepas dilaporkan
ditumbuk dalam insiden yang berlaku di terowong stadium berkenaan.
Dalam laporan polis tersebut
pengadu, Fabio Flor De Azevedo menjelaskan bahawa pada kira-kira pukul 9.40
malam bertempat di terowong menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan,
tiba-tiba dia telah didatangi seseorang yang menggugutnya.
Menurutnya, selepas itu, CEO
T-Team, Abdul Rasid datang menghampirinya dan menariknya ke dalam bilik
persalinan.
Akibat daripada kejadian
tersebut katanya, dia merasakan keselamatan dirinya terancam dan datang ke
Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan.
Sementara itu, polis Terengganu
mengesahkan telah menerima empat laporan daripada pasukan bola sepak T-Team
berhubung insiden tersebut.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah
Mustapa berkata pihak pengurusan, dua pemain import serta jurulatih kecergasan,
Impagliazzo membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu
antara pukul 9 malam dan 12.30 tengah malam kelmarin.
"Kami akan menyiasat dan
akan memanggil serta merakamkan percakapan saksi-saksi yang berada di tempat
kejadian bagi membantu siasatan," katanya.
Persatuan Bola Sepak Negeri
Johor (PBNJ) pula dalam satu kenyataan media semalam menjelaskan bahawa
pihaknya sedia memberi kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan.
FAM yang enggan mengulas
insiden tersebut hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas mengadakan mesyuarat
khas pada Khamis ini bagi membincangkan insiden itu.
SUMBER:KOSMO ONLINE
No comments:
Post a Comment