Ad

Monday, 3 February 2014

Kim Swee calon paling layak

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
SUBHAN (kanan) bersalaman dengan KIm Swee (kiri) dan Hamidin sebaik selesai sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam berhubung isu jurulatih baharu Harimau Malaya.

SEPERTI diduga, Datuk Ong Kim Swee kekal menggalas tugas sebagai pengendali sementara Harimau Malaya selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal memburu jurulatih baharu buat masa ini.

Namun, badan induk bola sepak negara itu bagaikan tidak mempunyai jawapan muktamad berhubung kemungkinan Kim Swee dilantik menggalas jawatan itu secara tetap sebelum kempen Piala Suzuki AFF 2014 membuka tirainya di Singapura dan Vietnam hujung tahun ini.

Sebaliknya, pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal turut membayangkan bahawa Kim Swee kini seolah-olah berdepan ‘tempoh percubaan’ menjelang pertemuan dengan Yemen dalam aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Dubai, bulan depan.

“Buat masa ini, FAM memberikan sepenuh kepercayaan kepada Kim Swee mengendalikan skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan dengan Filipina (1 Mac) dan juga pertemuan berdepan Yemen nanti.

“Keputusan lanjut mengenai siapa jurulatih Harimau Malaya juga akan ditentukan selepas itu, bergantung dengan prestasi Kim Swee,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan juga Kim Swee.

Subahan memberitahu, pihaknya juga berharap keputusan ini dapat menamatkan teka-teki mengenai calon sebenar jurulatih Harimau Malaya selepas ini.

“Keputusan melantik jurulatih skuad kebangsaan bukan terletak di tangan saya, sebaliknya ia keputusan Exco FAM yang dipengerusikan Presiden (Sultan Ahmad Shah).

“Jadi, biar Kim Swee melaksanakan tugasnya sebaik mungkin terlebih dahulu, selepas itu kita tunggu dan lihat macam mana.

“Mungkin, siapa jurulatih Harimau Malaya hanya akan diputuskan selepas berdepan Singapura dalam satu aksi persahabatan Ogos depan,” jelas Subahan.

Dalam pada itu, Hamidin juga menafikan Kim Swee hanya diberikan tempoh sehingga Jun depan sebagai pengendali sementara Harimau Malaya.

“Segala butiran kontrak juga sudah selesai, buat masa ini FAM tidak menetapkan sebarang tempoh bagi mengenalpasti jurulatih baharu Harimau Malaya,” katanya.

Untuk rekod, jawatan ‘kerusi panas’ itu kini kosong selepas kontrak Datuk K.Rajagobal tidak lagi disambung FAM pada 31 Disember tahun lalu.
 SUMBER:KOSMO ONLINE 4.2.14


No comments:

Post a Comment