Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my
PENYERANG import Kedah, Jose
Franco Regino akan terus menjadi sandaran pada aksi menentang Perlis malam ini.
KEDAH akan turun dengan misi
mencari kemenangan pada aksi menentang musuh tradisi, Perlis pada aksi pusingan
kedua kempen Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Jika mampu direalisasikan, ia
akan membawa mereka melangkah ke pusingan suku akhir kejohanan berprestij itu.
Setiausaha Kehormat Persatuan
Bola Sepak Kedah (KFA), Aminuddin Osman berkata, biarpun pasukannya berjaya
menjinakkan skuad Singa Utara 4-1 pada perlawanan Liga Premier baru-baru ini,
namun keputusan itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai keupayaan
sebenar pasukan lawan.
Menurutnya, pentas Piala FA
berbeza kerana ia adalah perlawanan kalah mati, dan setiap pasukan termasuk
Perlis pastinya mahu mencipta kemenangan untuk layak ke pusingan seterusnya.
"Kita tidak akan memandang
rendah keupayaan Perlis. Lagi pun, mereka pasti akan berjuang habis-habisan
untuk menebus kekalahan tempoh hari.
"Saya sudah ingatkan
barisan pemain Kedah supaya sentiasa fokus dan tidak memberi terlalu banyak
ruang kepada pemain lawan kerana sebarang kesilapan akan menyebabkan misi kita
untuk mengutip tiga mata pada malam ini tidak kesampaian," katanya di Alor
Setar semalam.
Tambah Aminuddin, pasukannya
dijangka menurunkan barisan sama yang pernah menewaskan Singa Utara sebelum
ini.
"Mungkin ada perubahan
satu atau dua orang pemain, namun sebahagian besarnya masih dikekalkan kerana
kecemerlangan mereka telah pun terbukti.
"Saya yakin jurulatih,
David Mitchell telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan ini
termasuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.
"Berbekalkan moral para
pemain kini berada pada tahap terbaik, tidak mustahil Singa Utara akan berputih
mata," ujarnya.
Mengulas mengenai status pemain
import keempat dari Australia, Adriano Pellegrino yang sehingga kini belum
dapat diturunkan dalam kesebelasan utama skuad yang mendapat jolokan Helang
Merah itu, Aminuddin berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan Sijil
Perpindahan Antarabangsa (ITC).
"Kita sudah berusaha
mendapatkan ITC lebih awal iaitu sebelum kempen Liga Malaysia musim ini
bermula, namun gagal. Bagaimanapun, kita tidak akan berputus asa dan yakin
masalah dapat diselesaikan menjelang pintu pendaftaran pemain kali kedua, April
nanti," katanya.
Jelasnya, biarpun tanpa kelibat
Pellegrino, dia tidak begitu bimbang kerana pasukan itu masih mempunyai tiga
pemain import lain yang tidak kurang hebatnya.
"Ketika ini, Pellegrino
masih milik Kedah malah dia turut berlatih bersama-sama rakan sepasukannya dan
bersedia diturunkan selepas masalah ITC itu selesai," ujarnya.
SUMBER:KOSMO ONLINE 4.2.14
No comments:
Post a Comment