Ad

Monday, 3 February 2014

Kelantan lupakan 'mimpi ngeri'


 

Oleh YATIMIN ABDULLA
sukan@kosmo.com.my
KHAIRUL Fahmi akan pastikan Kelantan berjaya mengatasi Sabah dalam saingan Piala FA malam esok.

PENOLONG kapten The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat mahu rakan-rakan sepasukan melupakan 'mimpi ngeri' tumpas 1-2 kepada Selangor PKNS dalam aksi Liga Super minggu lalu dan kembali memberikan fokus menjelang pusingan kedua Piala FA bertemu Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

Justeru penjaga gawang The Red Warriors itu mahu rakan-rakan sepasukan mempamerkan semangat juang tinggi pada perlawanan tersebut.

Khairul Fahmi atau Apek berkata, pertemuan kalah mati dengan Sabah itu akan menentukan hala tuju pasukan dalam saingan Piala FA musim ini.

"Ini merupakan pertemuan kalah mati dan kita tidak boleh tumpas pada perlawanan ini. Kekalahan minggu lalu harus dilupakan segera dan saya harap ia tidak mempengaruhi persembahan Kelantan pada Selasa nanti.

"Selaku juara bertahan, kita pastikan mahu pergi jauh. Jadi saya dan rakan-rakan bertekad untuk memperagakan aksi terbaik pada perlawanan itu nanti," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Apek memberitahu, dia sudah bersiap sedia untuk menghadapi pertemuan tersebut bagi memastikan The Red Warriors mara ke pusingan seterusnya.

"Saya harap rakan-rakan yang beraksi dalam aksi persahabatan dengan DPMM Brunei mendapat rehat secukupnya menjelang pertemuan ini nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Apek mengingatkan rakan-rakan sepasukan supaya tidak memandang rendah kemampuan pasukan Sabah pada pertemuan itu nanti.

Katanya, Sabah bukanlah calang-calang pasukan walaupun mereka tewas dua kali dalam aksi Liga Premier sebelum ini.

"Saya yakin jurulatih mereka ada perancangan tersendiri begitu juga dengan pemain yang pasti bersemangat dan lebih bersedia untuk bertemu dengan Kelantan.

"Bagaimanapun, kami sudah bersedia untuk berhadapan dengan mereka dan memastikan kemenangan berpihak kepada Kelantan pada perlawanan itu nanti," tegasnya.

KOSMO ONLINE 3.2.14

No comments:

Post a Comment