SEBAHAGIAN pemain JDT sabar
menunggu pasukan T-Team keluar daripada bilik persalinan untuk memulakan aksi
separuh masa kedua tetapi pasukan lawan bertindak tidak mahu meneruskan
permainan pada kempen Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru
malam kelmarin.
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin Abu Bakar (gambar kecil) mahu insiden kekecohan yang berlaku dalam
terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin Johor Bahru malam kelmarin disiasat tanpa berat sebelah.
"Isu ini sangat serius
malah ramai yang menyaksikan kejadian itu berlaku. Ia akan disiasat sepenuhnya
dengan telus," respons Khairy menerusi laman Twitternya semalam.
Perlawanan berkenaan terpaksa
ditangguhkan selepas pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan
jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dilaporkan dikasari ketika menuju ke
bilik persalinan.
Menerusi laman Facebook T-Team,
kekecohan tersebut didakwa bermula apabila Goncalves ditumbuk pada hidung
manakala Stefano ditendang.
Keadaan bertambah buruk apabila
perlawanan pada babak kedua terpaksa ditangguhkan selepas pemain dan pegawai
T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua dan
terus pulang ke Kuala Terengganu kerana didakwa keselamatan diri mereka
terancam.
Sebelum insiden, JDT sedang
mendahului 2-1 hasil jaringan Luciano Figueroa pada minit ke-16 dan 21
sementara jaringan The Titans pula dihadiahkan oleh kapten pasukan, Mohd.
Marzuki Yusof pada minit ke-27.
KOSMO ONLINE 3.2.14
No comments:
Post a Comment