Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
MISTERI mengenai calon sebenar
jurulatih baharu Harimau Malaya masih belum terungkai.
Tatkala perbincangan bersama
calon pilihan, Phillippe Troussier dilaporkan menemui jalan buntu baru-baru
ini, timbul persoalan sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan
berganjak dengan keputusan memburu khidmat jurulatih asing bagi mengendalikan
Harimau Malaya ataupun tidak selepas ini.
Sumber memberitahu Kosmo!, FAM
masih belum membuat keputusan berhubung perkara itu selepas dikatakan tidak
lagi berminat mendapatkan khidmat Troussier baru-baru ini.
"Buat masa ini, tugas
mengendalikan Harimau Malaya kekal dikendalikan pengendali sementara, Datuk Ong
Kim Swee menjelang aksi persahabatan berdepan Filipina (1 Mac) dan juga Yemen
(aksi kelayakan Piala Asia) pada 5 Mac depan.
"Justeru, FAM tidak
terburu-buru mendapatkan jurulatih lain dalam masa terdekat hanya semata-mata
jika gagal mendapatkan khidmat Troussier sebelum berdepan Yemen Mac nanti.
"Namun, persoalan mengenai
siapa calon lain (sama ada jurulatih asing ataupun tempatan) terletak kepada
budi bicara FAM selepas ini," kata sumber itu yang enggan dikenali kepada
Kosmo! semalam.
Terdahulu, FAM dikatakan tidak
lagi berminat meneruskan perbincangan dengan Troussier bagi menyandang 'kerusi
panas' itu selepas kontrak Datuk K. Rajagobal tidak lagi disambung pada 31
Disember tahun lalu.
Ia ekoran Troussier, 58, yang
ditawarkan kontrak selama tiga tahun dikatakan banyak 'songeh' ketika
mengadakan rundingan bersama FAM baru-baru ini.
Selain tidak mahu FAM
meletakkan sebarang KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) terhadap beliau, Troussier
juga dikatakan mahu kontrak tersebut ditamatkan dengan segera jika beliau tidak
berpuas hati dengan permukaan padang, prestasi pemain mahupun pasukan atau
mana-mana perkara berbangkit.
Lebih memeranjatkan, Troussier
juga menuntut FAM supaya tetap membayar gaji untuk baki kontrak biarpun beliau
sendiri yang menamatkan kontrak tersebut lebih awal.
Selain Troussier, jurulatih AS
Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain
Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton
juga dikatakan berada dalam radar FAM.
Untuk rekod, mendiang Bertalan
Bicskei dari Hungary merupakan warga asing terakhir yang dilantik FAM untuk
mengendalikan skuad Malaysia dari 2004 hingga 2005.
Antara jurulatih asing yang
pernah membimbing skuad Harimau Malaya sebelum ini termasuklah Alan John Harris
(England), Hatem Souissi (Tunisia) dan seorang lagi warga Perancis, Claude Le
Roy.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini juga enggan masuk campur dengan keputusan FAM
memburu jurulatih asing bagi mengendalikan skuad kebangsaan biarpun secara
peribadinya menganggap ia bukan satu keutamaan buat masa ini berbanding
pelaburan mengenal pasti bakat muda.
Kim Swee pula enggan berterusan
dikaitkan dengan 'kerusi panas itu' namun tetap memberi jaminan bakal
memberikan yang terbaik menjelang aksi berdepan Filipina dan Yemen kelak.
Dalam pada itu itu, Setiausaha
Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memberi jaminan bahawa segala-gala persoalan
bakal terlerai menerusi satu sidang akhbar khas di Wisma FAM, Kelana Jaya
petang ini.
"Kesemua persoalan
mengenai perkara ini akan terjawab esok (petang ini), jadi saya harap kesemua
pihak boleh bersabar," katanya ringkas kepada Kosmo! semalam.
KOSMO ONLINE 3.2.14
No comments:
Post a Comment