Ad

Thursday, 6 March 2014

Chong Wei jumpa Wei Feng di pusingan kedua

Lee Chong Wei melepasi pusingan pertama All England selepas menang ke atas Tanongsak Saensomboonsuk 21-15, 21-17 semalam.
KUALA LUMPUR - Biarpun diselubungi kecederaan, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei masih mampu mengetepikan tentangan sengit pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk pada pusingan pertama kejohanan badminton All England, semalam.

Dia yang tidak pernah tewas dalam enam pertemuan sebelum ini ke atas Tanongsak yang berkedudukan ranking ke-12 dunia, tidak pernah membiarkan lawannya dari Thailand itu memintas kedudukan mata pada set pertama dan kedua dengan konsisten berada di hadapan dalam permainan yang mengambil masa 28 minit untuk menang straight set, 21-15, 21-17.

Dia bakal bertemu Chong Wei Feng pada pusingan kedua hari ini setelah rakan senegaranya itu menewaskan pemain Jerman, Marc Zwiebler, 21-18, 21-19.

Kemaraan Chong Wei diiringi oleh pasangan lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang merupakan pilihan kelima kejohanan selepas menyingkirkan beregu dari Hong Kong, Chan Yun Lung-Lee Chun Hei melalui permainan rubber set, 19-21, 21-13 dan 21-4.

Harapan untuk melihat pemain muda negara, Misbun Ramdan Mohamed Misbun yang mara melalui pusingan kelayakan untuk melangkah lebih jauh pada All England tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain Taiwan, Tien Chen Hou 15-21, 10-21.

Gandingan Chan Peng Soon-Lai Pei Jing jelas tidak mampu menandingi pilihan kedua kejohanan, Tontowi Ahmad-Liliyana Nasir dari Indonesia apabila ditunjukkan jalan keluar hanya dalam tempoh 25 minit dengan kekalahan mudah 12-21, 5-21.

Ternyata Peng Soon masih memerlukan kelibat Goh Liu Ying yang terpaksa berehat ekoran mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan lutut dan masih memerlukan masa membentuk keserasian bersama Pei Jing, pemain muda berusia 21 tahun.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140306/su_03/Chong-Wei-jumpa-Wei-Feng-di-pusingan-kedua#ixzz2vAisqSUT © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment