SEBUAH kapal penyelamat mencari pesawat MH370 yang hilang dekat Pulau Con Dao, Vietnam semalam.
BEIJING - Isyarat radio terakhir yang diterima daripada kokpit sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Laut China Selatan adalah ungkapan yang menyatakan: "Baik, selamat malam."
Ungkapan itu didedahkan Duta Besar Malaysia ke Beijing, Datuk Iskandar Sarudin semalam dalam satu pertemuan dengan saudara-mara para penumpang warga China di sebuah hotel di sini.
Sejumlah 153 daripada 227 penumpang dan 12 kru pesawat tersebut merupakan rakyat China.
Penerbangan MAS MH370 dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China hilang daripada skrin radar pada awal pagi Sabtu lepas tanpa panggilan kecemasan manakala tiada bangkai pesawat ditemui sehingga kini walaupun selepas operasi mencari besar-besaran dilancarkan.
Akhbar Singapura, Straits Times semalam melaporkan bahawa ungkapan tersebut diucapkan oleh salah seorang juruterbang pesawat berkenaan ketika penerbangan MH370 mula memasuki ruang udara Vietnam.
Ketika kekeliruan timbul berhubung isu lokasi operasi mencari dan sama ada radar tentera Malaysia mengesan kapal terbang Boeing itu, Iskandar berkata:
KOKPIT pesawat Boeing 777-200.
"Sekarang bukan masa untuk mendedahkan tentang maklumat yang diberikan oleh tentera kepada pihak berkuasa awam."
Pesawat itu dipandu juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantunya, Fariq Ab Hamid, 27.
Dalam pada itu, sebahagian saudara-mara penumpang di sini memberitahu agensi berita AFP bahawa pertemuan itu berlangsung dengan teratur sekali gus berbeza dengan pertemuan serupa melibatkan beberapa pegawai China pada Isnin lalu.
Pada pertemuan tersebut, beberapa saudara-mara penumpang MH370 menyelar para pegawai berkenaan.
"Saya berpendapat, pemerintah China perlu lebih aktif dalam menangani isu itu," kata seorang lelaki yang menggunakan nama keluarga Zhang. Anak perempuannya menaiki pesawat tersebut.
"Tambahan pula, insiden itu berlaku melibatkan rakyat China," tambahnya. - AFP
SUMBER-KOSMO ONLINE 13.3.14
No comments:
Post a Comment