Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Peter Reid
PETALING JAYA - Kejayaan
Harimau Malaya menundukkan Yemen belum cukup untuk menguatkan curriculum vitae
Datuk Ong Kim Swee bagi dipilih sebagai jurulatih tetap skuad negara, walaupun
beliau tidak ditolak terus.
Kim Swee bukan tidak layak,
tetapi majikannya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih mahu mengikuti
ketetapan yang dibuat dalam Mesyuarat Eksekutif pada 23 Februari lalu yang mahu
mendapatkan khidmat jurulatih luar negara bagi membimbing skuad Harimau Malaya.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd. Amin bagaimanapun berkata, sebarang perubahan terhadap ketetapan
itu dan mengenai peluang Kim Swee bergantung kepada mesyuarat eksekutif FAM
pada masa akan datang yang bakal membuat penilian semula.
"Buat masa ini keputusan
Exco sebelum ini masih kekal, tiada sebarang perubahan. Selepas ini kita tidak
tahu lagi, mungkin akan ada perbincangan," katanya ringkas semasa ditemui
di Wisma FAM semalam.
Beberapa nama telah dikaitkan
dengan jawatan jurulatih negara selepas bekas jurulatih Jepun, Philippe
Troussier menolak tawaran FAM.
Dua bekas pemain Perancis,
Marcel Desailly, Jean-Pierre Papin dikatakan berminat memikul tanggungjawab itu
dan yang terbaharu FAM telah menemuduga bekas jurulatih Thailand, Peter Reid.
Harimau Malaya menewaskan Yemen
2-1 di Abu Dhabi walaupun bermain dengan 10 orang sejak minit ke-10 apabila
Amirizdwan Taj Tajudin dilayangkan kad merah.
Malaysia memperoleh gol
menerusi Amri Yahyah dan Ahmad Fakri Saarani untuk menutup kempen kelayakan Piala
Asia di tempat ketiga Kumpulan D serta mengutip tujuh mata daripada enam
perlawanan.
Kedudukan itu masih tidak cukup
untuk mendapatkan tiket ke pusingan akhir Piala Asia di Australia tahun depan
dengan slot terakhir menjadi milik China yang layak melalui perbezaan jaringan
ke atas Lebanon setelah kedua-dua pasukan mengutip lapan mata.
Sebelum bertemu Yemen, skuad
negara seri dengan Filipina dalam pertemuan persahabatan di Stadium Selayang,
tetapi menunjukkan prestasi hebat untuk menguasai permainan.
Mereka mencipta begitu banyak
peluang sehingga membuatkan ramai yakin yang Kim Swee berkemampuan menggalas
tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Datuk K. Rajagobal.
Hakikat itu diakui oleh Hamidin
yang berasakan itu satu langkah cemerlang kepada karier Kim Swee setelah diberi
amanah mengendalikan pasukan kebangsaan dalam dua perlawanan.
Beliau sependapat dengan
Menteri Belia dan Sukan mengenai aksi cemerlang Harimau Malaya.
"Bagi saya, ini permulaan
baik kepada dirinya. Sepatutnya semasa berdepan Filipina, kita boleh menang
cuma kita tidak bernasib baik.
"Saya memang bersetuju
dengan apa yang diperkatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin
yang skuad ini ada kegigihan selain dibantu faktor nasib.
"Kecewa memang kecewa
kerana kita tidak layak walaupun menang, pungutan tujuh mata yang diraih jelas
tidak mencukupi," katanya lagi.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140308/su_03/FAM-tetap-minat-jurulatih-luar#ixzz2vKB8U0Ci
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment