WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mac 2014
Masjid Kristal cetus
kontroversi
PEMBINAAN Masjid Kristal yang
terletak di kawasan pelancongan, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala
Terengganu, suatu ketika dahulu pernah mencetuskan kontroversi apabila ia dibina
lebih memfokuskan kepada aspek pelancongan daripada fungsi sebenarnya.
Malah, masjid yang dibina
ketika pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh itu turut
dijadikan modal politik pihak tertentu, tambahan waktu itu BN berjaya merampas
kembali Terengganu daripada Pas.
Kisah mengenai ‘masjid kaca’
itu bukan sahaja menjadi topik bualan hangat masyarakat negeri ini, sebaliknya
turut tersebar dan menarik perhatian rakyat di seluruh negara.
Pelbagai isu ditimbulkan
termasuklah dakwaan arkitek bukan orang Islam, arah kiblat salah, selain
tersebarnya rakaman video wajah aneh seolah-olah menyerupai syaitan pada masjid
berkenaan apabila lampu warna-warni dipasang pada waktu malam.
Masjid yang dikatakan menelan
belanja kira-kira RM360 juta itu digunakan secara rasmi pada Februari 2008 dan
turut dilabelkan sebagai masjid pintar pertama di negara ini, namun ramai yang
menyifatkan pembinaannya sebagai membazir.
Tidak terhenti di situ sahaja,
ada yang mendakwa pembinaan masjid yang dibuat daripada kaca dan keluli itu
langsung tiada faedah kerana hanya untuk ‘tengok-tengok’, ditambah pula ia
tidak dapat digunakan untuk solat Jumaat kerana kariah tidak mencukupi di kawasan
tersebut.
Di sebalik pelbagai tohmahan
negatif mengenai fungsi sebenar masjid yang mampu menampung kira-kira 700
jemaah pada satu-satu masa itu, Masjid Kristal kini terus menjadi tumpuan orang
ramai yang berkunjung ke negeri ini.
Membazir atau sebaliknya, ia
bukan lagi perkara yang perlu dipersoalkan semua pihak, namun apa yang
sewajarnya, pendekatan secara berhemah perlu dilakukan untuk menarik masyarakat
terutamanya golongan muda mengimarahkan masjid.
Ini kerana, kita tidak mahu
sesebuah masjid itu bukan sahaja gah dari segi kehebatan rekaannya, peralatan
yang digunakan, keluasannya, tetapi fokus utama adalah untuk melihat masyarakat
menjadikan masjid sebagai tempat penyatuan dengan cara melakukan solat
berjemaah bersama-sama.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE
1.3.14
No comments:
Post a Comment