NAJIB Tun Razak bersama jemaah
mengaminkan doa yang dibaca oleh Imam II, Mohd. Aizuddin Mohd. Salleh selepas
solat hajat mencari pesawat MH370 di Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, semalam. Turut
serta Jamil Khir Baharom (empat dari kanan) dan Hishammuddin Tun Hussein.
SEPANG 14 Mac - Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini menunaikan solat Jumaat,
diikuti solat hajat di Masjid Sultan Abdul Samad di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Solat hajat itu yang dipimpin
oleh Imam II masjid tersebut, Mohd. Aizuddin Mohd. Salleh bertujuan memohon
pertolongan daripada Allah supaya operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370
yang hilang sejak Sabtu lalu itu dipermudahkan.
Yang hadir sama, Pemangku
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,
Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid
Omar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul
Rahman.
Dalam pada itu, suasana di
perkarangan masjid tersebut bertukar kecoh seketika apabila beberapa media dari
luar negara bertindak keterlaluan apabila cuba mendapatkan reaksi Perdana
Menteri ketika mahu menuju ke ruang solat.
Lebih keterlaluan apabila,
wartawan tersebut menyoal dengan cara terjerit-jerit beberapa kali biarpun
telah dihalang oleh pasukan keselamatan.
Namun, Perdana Menteri tetap
tenang dan hanya menjawab ringkas asakan media itu: "Kami doakan pada
semua."
Beliau merujuk kepada nasib 239
penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang kali terakhir dikesan pada pukul
1.30 pagi di Laut China Selatan.
Sementara itu, dalam khutbah
yang disampaikan oleh Pegawai Penyelaras Masjid Pejabat Agama Islam Daerah
Sepang, Rahimi Abdul Aziz, beliau menyeru semua pihak supaya berprasangka baik
dengan ujian yang diturunkan Allah itu.
Pada masa sama, katanya, orang
ramai juga dinasihatkan tidak mengambil kesempatan dengan menyebar khabar angin
atau berita palsu sehingga menyusahkan semua pihak.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_03/Perdana-Menteri-sertai-ribuan-jemaah-solat-hajat-di-Masjid-KLIA#ixzz2vyuF3o8H
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment