1 Mac 2014
Jambatan Kedua Pulau Pinang
GEORGETOWN - Ikon terbaharu
negara, Jambatan Kedua Pulau Pinang atau JK2PP, dirasmikan oleh Datuk Seri
Najib Tun Razak malam ini dengan disaksikan lebih 10,000 orang.
Perdana Menteri yang diiringi
isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada kira-kira 8.30 malam untuk merasmikan
jambatan sepanjang 24km itu, yang merupakan jambatan terpanjang di Asia
Tenggara.
Turut mengiringi Najib ialah
Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan
Eng.
Acara bersejarah penuh warna-warni
itu turut disaksikan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri
Tun Jeane Abdullah, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon,
Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu serta
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Hadir sama Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang
Teng Chang Yeow, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak berkuasa Pelaksanaan Wilayah
Ekonomi Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq dan barisan exco kerajaan
negeri.
Ketibaan Najib dan Rosmah
disambut dengan nyanyian 1M4U dan orang ramai dilihat berpusu-pusu mahu
bersalam dan mengambil gambar mereka.
Sejurus Perdana Menteri
merasmikan jambatan kedua itu, langit pulau mutiara diserikan dengan
pertunjukan bunga api sebagai simbol perasmian jambatan baharu itu.
Perdana menteri dan isteri
turut menaiki bas dua tingkat tanpa bumbung dari persimpangan Batu Maung hingga
ke gerbang jambatan itu.
Setelah dinanti-nantikan selama
lima tahun, jambatan baharu itu akan dibuka pada 12.01 tengah malam ini untuk
membolehkan orang ramai melihat sendiri keunikan struktur jambatan dan plaza
tol itu, yang dikatakan terbesar di negara ini dengan 28 kiosk bayaran.
Jambatan sepanjang 24 kilometer
dengan 17 kilometer daripadanya merentasi laut dan tujuh kilometer di daratan,
bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri terutama di zon perindustrian
tanah besar di Batu Kawan.
Selain mengurangkan kesesakan
di Jambatan Pulau Pinang, jambatan itu yang diilhamkan bekas Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad dan direalisasikan Abdullah, akan merapatkan lagi
pembangunan sosial dan ekonomi antara Batu Maung di kawasan pulau dan Batu
Kawan di tanah besar.
Projek mega itu yang menelan
kos RM4.5 bilion dikendalikan oleh kontraktor China Harbour Engineering Co Ltd
(CHEC) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) sebagai pemegang konsesi untuk 45
tahun.
Selain dibina dengan reka
bentuk bersifat lestari alam sekitar, JK2PP mempunyai kelebihan kerana
menggunakan sistem galas getah redaman tinggi (HDRB) yang mampu menahan kesan
gegaran gempa bumi sehingga 8.2 pada skala richter pada jarak 300km daripada
punca gempa bumi.
HDRB adalah produk daripada
getah asli yang direka bentuk oleh Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di United
Kingdom, iaitu makmal milik Lembaga Getah Negara dan dihasilkan sepenuhnya di
dalam negara.
Pada 30 April tahun lepas,
Najib menjadi pemimpin pertama negara yang menggunakan laluan JK2PP dari
bahagian pulau ke tanah besar untuk menghadiri satu majlis di Kepala Batas,
Seberang Perai. - Bernama
No comments:
Post a Comment