Menara Mara di Jalan Tuanku
Abdul Rahman, Kuala Lumpur akan dirasmikan oleh Najib Tun Razak pada Isnin ini.
KUALA LUMPUR 1 Mac - Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan Menara Mara yang terletak
di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada Isnin ini.
Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar
Musa berkata, majlis perasmian yang akan berlangsung pada pukul 8 malam itu
adalah bersempena sambutan 48 tahun Mara.
"Perasmian menara itu
merupakan manifestasi usaha berterusan Mara dalam memartabatkan kaum bumiputera
yang mana tapak asal menara ini adalah bangunan pertama Mara yang didirikan
pada tahun 1967," kata beliau dalam kenyataannya di sini.
Beliau berkata, Menara Mara
siap sepenuhnya pada 2012 bercirikan reka bentuk komersial kontemporari serta
berkonsepkan latar tradisi Melayu progresif dengan penerapan elemen-elemen seni
anyaman Melayu tradisional dan juga cokmar yang mana menara ini melambangkan
identiti Mara sebagai pemangkin dan pelopor kemajuan Melayu masa kini.
"Menara yang diuruskan
oleh Mara Incorporated (Mara Inc.), memenuhi keperluan bumiputera untuk
menjalankan perniagaan di lokasi strategik sekali gus membantu usahawan mereka
bersaing dalam dunia perniagaan dan perkhidmatan komersial," ujarnya.
Menara Mara mempunyai ruang
pejabat berkeluasan 715.35 meter persegi pada setiap aras dan mempunyai Hotel
Premiera bertaraf empat bintang yang turut menyediakan Dewan Utama dan bilik
seminar.
Ia juga mempunyai BUSANA@Menara
MARA, berkeluasan 6,038 meter persegi yang menyediakan ruang perniagaan kepada
usahawan bumiputera yang berwibawa untuk memperluaskan perniagaan dalam kawasan
segi tiga emas Kuala Lumpur.
Sempena perasmian menara itu,
pameran tentang sejarah, kejayaan serta transformasi Mara turut diadakan.
"Pelbagai acara telah
disusun sempena perasmian dan sambutan ini, justeru kami menjemput semua
komuniti Mara yang berjumlah lebih dua juta serta orang ramai untuk turut hadir
memeriahkan majlis ini," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140302/dn_02/PM-rasmi-Menara-Mara#ixzz2ul48YmyN
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment