Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD
HIDZIR
sukan@utusan.com.my
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
berada di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam untuk menyaksikan latihan pasukan
Johor Darul Tazim yang akan menentang Sime Darby dalam perlawanan Liga Super,
malam ini.
PETALING JAYA - Presiden
Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak
menghalang mana-mana ahli gabungan di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
yang berhasrat mencalonkannya bagi mengisi jawatan presiden badan induk itu
pada mesyuarat pemilihan yang akan berlangsung pada 25 Mei ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan
masih belum memikirkan mengenai perkara itu kerana lebih banyak tertumpu kepada
pembangunan bola sepak di Johor.
"Sejujurnya saya masih
muda, masih belum memikirkan lagi mengenai perkara itu kerana perjalanan saya
masih jauh.
"Saya tidak tahu, tak
sampai begitu jauh lagi pandangan saya, terpulang kepada ahli gabungan siapa
mereka mahu tetapi saya tidak fikir lagi mengenainya," katanya kepada
pemberita di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini semalam.
Sebelum ini, Penasihat
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Tunku
Ismail sebagai antara calon terbaik untuk mengisi jawatan Presiden FAM.
Mengulas mengenai surat
pertuduhan terhadap PBNJ berhubung insiden terowong Larkin, Tunku Ismail
memberitahu beliau masih belum membaca surat itu.
"Saya tidak tahu, saya
belum baca lagi, mungkin sudah ada di sana. Secara peribadi saya belum baca.
Saya datang ke sini untuk melihat Johor Darul Tazim (JDT) bermain di Stadium
Selayang (menentang Sime Darby malam ini)," katanya.
Rabu lalu, FAM menyatakan surat
pertuduhan sudah diserah kepada PBNJ berhubung kekecohan yang berlaku di dalam
terowong sewaktu perlawanan menentang T-Team dalam kempen Piala FA pada 1
Februari lalu.
Pihak Sekretariat FAM telah
mengeluarkan surat pertuduhan kepada pasukan JDT di bawah Kod Tatatertib 28.1
iaitu kesalahan daripada segi mengawal keselamatan pegawai dan pemain semasa
perlawanan dan PBNJ diberi tempoh seminggu untuk menjawab pertuduhan itu.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140308/su_02/Tiada-halangan-untuk-dicalonkan-sebagai-Presiden-FAM---TMJ#ixzz2vK8z20UC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment