KAWASAN di sekitar Tanjung Piai
dan Kukup juga popular sebagai pusat penternakan ikan air masin dan pengusaha
kelong.
TANJUNG Piai yang terletak di
daerah Pontian, Johor bukan satu nama yang asing dalam menu pelancongan negara
bahkan telah lama dikenali pelancong luar negara.
Jika Rusia terkenal dengan
Tanjung Chelyuskin sebagai titik paling utara benua Asia, negara kita mempunyai
Tanjung Piai sebagai tanah penghujung benua Asia di sebelah selatan.
Keunikan lokasi yang tidak
terdapat di mana-mana tempat itu menjadikannya antara lokasi wajib sampai
bagi mereka yang gemar mengembara.
Pengalaman kru S2 menjejakkan
kaki di penghujung tanah benua terbesar di dunia itu baru-baru ini turut
memberi kepuasan yang sama.
Berdiri di depan arca glob yang
tertera perkataan "Tahniah! Anda Kini Berada di Penghujung Selatan Tanah
Besar Asia" sepintas lalu memberi gambaran betapa istimewanya Tanjung
Piai.
Selain memiliki rekod geografi
yang diiktiraf dunia, Tanjung Piai sebenarnya menjanjikan banyak pengalaman
unik bagi mereka menjejakkan kaki di situ.
Jeti di penghujung benua Asia
misalnya merupakan satu-satunya lokasi di negara ini yang membolehkan dua
negara iaitu Singapura dan Indonesia dilihat pada satu masa.
Dalam keadaan cuaca yang baik,
Pulau Karimun, Indonesia boleh dilihat dengan jelas di sebelah kanan manakala
pelabuhan Singapura pula berada di sebelah kiri.
Selain itu kawasan Tanjung Piai
yang mengunjur ke laut turut menyajikan keindahan pemandangan matahari terbit dan
terbenam.
Aset terbesar pelancongan di
situ tidak lain tidak bukan adalah Taman Negara Tanjung Piai yang merangkumi
kawasan seluas 947 hektar.
Mula dibuka kepada umum pada
2002, kawasan hutan paya laut itu kemudian diwartakan sebagai taman negara pada
26 Februari 2004 dan terus menjadi tumpuan selepas diisytiharkan sebagai salah
satu daripada enam tapak Ramsar di negara ini.
Ramsar bermaksud senarai tanah
lembap yang dipersetujui melalui Konvensyen Tanah Lembap yang diadakan di
Ramsar, Iran pada tahun 1971.
ARCA Penghujung Benua Asia di
pintu masuk pejabat Taman Negara Tanjung Piai.
Ketibaan kru S2 di Taman Negara
Tanjung Piai baru-baru ini disambut oleh Pengurus Perbadanan Taman Negara Johor
(PTNJ), Khalid Zahrom di kompleks pelawat yang menempatkan pejabat taman
negara, galeri dan kemudahan asas seperti surau dan tandas.
Selepas sesi penerangan
mengenai kawasan taman negara, kandungan ekosistem dan kitaran hidup hutan paya
laut, penulis dibawa melalui pelantar kayu yang dibina merentasi hutan bakau di
situ.
Khalid berkata, selain menjadi
benteng hakisan, kawasan hutan bakau tersebut menjadi habitat kepada pelbagai
jenis unggas, kera dan hidupan paya laut seperti ketam nipah, kepah dan ikan
tembakul.
Beliau berkata, hutan bakau
Tanjung Piai juga menjadi tempat persinggahan burung-burung yang berhijrah pada
setiap tahun.
Selain itu katanya, kawasan
taman negara itu mempunyai satu lagi keistimewaan yang jarang dapat dilihat
iaitu fenomena air pasang besar yang berlaku hanya beberapa kali setahun.
"Antara bulan Disember
hingga Januari, pekarangan pejabat taman negara di sini akan bertukar menjadi taman
tema air kerana limpahan air laut.
"Fenomena ini tidak
merbahaya kerana air hanya naik sehingga paras buku lali. Bagi pelawat yang
datang dengan keluarga, fenomena itu dianggap sebagai satu tarikan,"
katanya.
Khalid memberitahu, walaupun
Tanjung Piai mengalami masalah hakisan dan pencemaran yang semakin meruncing,
namun jumlah kedatangan pelancong masih mencatatkan peningkatan setiap tahun.
Katanya, jumlah pelawat pada
tahun lalu direkodkan sebanyak 73,000 orang.
Sementara itu, kunjungan ke
Pontian boleh dikatakan tidak lengkap tanpa meneroka keistimewaan lain yang
boleh ditemui di sekitar Pontian dan Kukup.
Dari Tanjung Piai Resort yang
merupakan tempat penginapan paling hampir dengan taman negara, pelawat boleh
memandu kira-kira 10 kilometer untuk menikmati keenakan makanan laut di sekitar
pekan Kukup.
Antara tempat makan lain yang
popular adalah mi udang di Sungai Rambah dan bakso di Kampung Serkat.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140222/lk_01/Titik-penghujung-benua-Asia#ixzz2vKKhhmRI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment